MESKIPUN menjalani latihan ketenteraan, itu bukan penghalang untuk anggota kumpulan BTS, J-Hope untuk menambah koleksi hartanah.
J-Hope atau Jung Ho-seok, dilaporkan membeli sebuah kediaman jenis penthouse yang dianggarkan berharga RM40 juta secara tunai.
Menurut satu laporan, idola berusia 30 tahun itu membeli unit duplex di Afer Hangang yang terletak di Yongsan, Seoul pada 10 Jun lalu.
Penyanyi itu dikatakan membeli kediaman tersebut pada 2020, namun terpaksa melalui proses pemindahan pemilikan yang memakan masa selama empat tahun.
Rumah berkeluasan 274 meter persegi itu turut menghadap Taman Yongsan dan Sungai Han yang cukup indah.
Bukan itu sahaja, kediaman berkenaan turut memiliki akses perkhidmatan peribadi seperti limosin dan servis pembersihan rumah.
Sebelum ini, J-Hope sudah pun memiliki dua apartmen mewah di sekitar Seoul yang dibeli pada 2016. – HIBGLAM