PENYANYI Wany Hasrita menyifatkan individu yang sanggup menghina wajah anak selebriti mempunyai masalah kesihatan mental.
Menurut Wany atau nama penuhnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, bagi mengelakkan perkara tersebut semakin berleluasa, dia meminta ibu bapa mengehadkan perkongsian berkaitan anak mereka dalam media sosial.
“Saya memang kawal perkongsian dalam media sosial sejak dulu. Kalau rasa sudah terlalu banyak saya akan berhenti sekejap.
“Penyakit ‘ain ini memang wujud dan adakalanya apabila saya terlalu banyak berkongsi, kadang-kadang anak akan mula meragam.
“Jadi langkah terbaik adalah jangan keterlaluan apabila nak muat naik mengenai anak dan kawal jenis kandungan yang mahu dikongsi kepada umum,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Pelantun lagu Menahan Rindu itu bagaimanapun bersyukur apabila anak perempuannya, Aishah Al Iman tidak menjadi sasaran ‘mulut jahat’ netizen dalam media sosial.
“Sejujurnya memang saya takut, apatah lagi saya ada kongsikan wajah anak dalam muzik video saya menerusi YouTube sebelum ini.
“Namun, tindakan itu dibuat dengan niat baik iaitu sekadar nak kongsi kegembiraan kepada semua, cuma tidak dilakukan secara berlebih-lebihan,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan pernah menjadi mangsa kecaman netizen sehingga wajahnya disamakan seperti haiwan.
“Tentang orang luar kecam, saya memang tak boleh nak kawal apa mereka nak komen tetapi sebagai pengguna media sosial, kita sendiri harus kawal perkongsian atau kawal diri jika terima mesej negatif sebegitu.
“Kita anggap mereka tidak sihat dari aspek kesihatan mental.
“Kalau ikut hati memang geram sebab saya sendiri pun pernah dihina apabila disamakan seperti ‘khinzir’ tapi itulah lumrah apabila menjadi tontonan umum,” katanya lagi.
Baru-baru ini, penyanyi, Ernie Zakri mengambil pendekatan mengurangkan perkongsian mengenai cahaya matanya, Nur Khawla Soleha dalam media sosial susulan kerap menjadi mangsa kutukan netizen. – HIBGLAM