Diet ekstrem bahaya bintang K-pop

DIET adalah hal lumrah bagi selebriti Korea Selatan untuk mengekalkan berat badan yang ideal lebih-lebih lagi selepas menjadi perhatian umum.

Adakalanya mereka melakukan diet ekstrem bagi menurunkan berat badan dengan segera demi imej serta visual yang diibaratkan seperti magnet yang mampu menarik peminat.

Sekiranya selebriti K-pop tidak dapat memenuhi standard kecantikkan, mereka berdepan tekanan sekeliling termasuk daripada syarikat pengurusan mereka sendiri.

Atas faktor tersebut, Korea Selatan berada di kedudukan paling rendah bagi kes obesiti dunia dan kali ini Daebak membawakan beberapa nama yang sanggup melakukan diet ekstrem bagi mendapatkan tubuh langsing.

Ailee

SERING menjadi mangsa ‘bodyshaming’ membuatkan penyanyi Ailee tekad mengamalkan diet ekstrem sehingga berjaya menurunkan 10 kilogram dalam tempoh sebulan.

Kongsi pemilik nama sebenar Amy Lee, dia hanya memilih makanan dengan 500 kalori ke bawah sahaja.

Malah, dia mengamalkan makan sekali sehari atau salad ketika perutnya mula terasa lapar.

Namun, pelantun lagu Goodbye My Love itu mula belajar menyayangi diri sendiri dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Dia tidak mahu obsesi untuk langsing dan cantik sehingga memberi kesan terhadap masalah kesihatannya.

Momo Twice

DALAM masa seminggu, pihak agensi JYP Entertainment menyarankan penyanyi Momo menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogran.

Bagi mencapai target, tiada cara diet yang dapat mencapai angka tersebut dalam masa seminggu dan terpaksa menjalani diet ekstrem.

Sepanjang tempoh itu, penyanyi kumpulan Twice berkenaan mengambil air dan sering sahaja menghabiskan masa di gimnasium.

Meskipun selesai menjalani diet selama seminggu, Momo atau nama lengkapnya Momo Hirai, 27, tetap tidak mencapai sasaran sehingga diberi waktu tambahan selama tiga hari.

Anggota lain turut menyatakan kerisauan akan keadaan Momo kerana terlihat sangat pucat.

Pada akhirnya, anak kelahiran Jepun itu berjaya mendapatkan berat badan ideal dan sering memberikan penampilan memukau setiap kali mengadakan persembahan di mana-mana pentas konsert.

Xiumin EXO

KEBANYAKAN orang mesti berfikiran diet hanya dilakukan idola K-pop dalam kalangan wanita sahaja.

Namun, siapa sangka penyanyi kumpulan EXO iaitu Xiumin turut melakukan hal sama.
Ahli EXO paling tua itu pernah mendapat kritikan kejam kerana tidak mempunyai berat badan yang kurus dan sasa sejak debut.

Ketika awal kemunculan, dia juga sering dibandingkan dengan anggota EXO lain kerana tidak mempunyai tubuh menarik.

Hal tersebut membangkitkan semangat pemilik nama lengkap Kim Min-seok itu untuk melakukan diet dengan makan sekali sehari dan hanya minum kopi.

Berat badan penyanyi berusia 34 tahun itu turun dengan drastik sehingga berjaya mengurangkan 10 kilogram dalam tempoh dua bulan.

Jimin BTS

DISEBABKAN penurunan berat badan yang terlalu drastik, penyanyi kumpulan BTS iaitu Jimin pernah hampir pengsan ketika menjalani latihan bagi sebuah persembahan.

Kejadian tersebut betul-betul membuatkan peminatnya risau akan keadaannya.

Difahamkan, Jimin menjalani amalan diet ekstrem dan senaman berlebihan sehingga menyebabkan dia kurang stamina serta kelihatan seperti mayat hidup.

Dia juga sangat tegas dengan diet kerana jika diajak makan, dia akan segera menolak.

Obsesi terhadap kurus mula memberi impak terhadap aktiviti hariannya sehingga menyebabkan Jimin terpaksa berhenti diet dan mendapatkan jurulatih khas untuk mengawal berat badannya.

TOP BigBang

PENYANYI kumpulan BigBang, TOP merupakan contoh terbaik idola K-pop yang bersunguh-sungguh menjaga berat badan.

Menerima tekanan daripada agensinya, YG Entertainment, TOP melakukan diet ekstrem semasa berada dalam latihan sebelum bergelar artis.

Pada waktu tersebut, pemilik nama sebenar Choi Seung-hyun itu memiliki berat badan tidak ideal membuatkan YG Entertainment memberi amaran dia tidak dapat melanjutkan debut selagi belum menurunkan berat badan.

Selepas itu, TOP terus memulakan diet dengan hanya mengambil jeli tanpa gula, air mineral dan kacang merah sebagai snek. Dia juga melakukan rutin senaman beberapa jam setiap hari.

Meskipun cara diet yang diikuti boleh membahayakan diri, dia berhasil mencapai berat badan ideal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok