TERKEJUT didakwa mengimpikan lelaki beriman sebagai pengganti, pelakon Nora Danish bertegas perkara tersebut sepatutnya tidak menjadi isu sementelah dia baru bercerai dan masih dalam tempoh iddah.
Kata ibu tunggal dua anak itu, isu mencari suami beriman tersebut hanyalah satu faham susulan perkongsian video Reels popular dalam Instagram yang dirasakan sangat menyentuh hati banyak orang.
“Tidak, saya baru sahaja bercerai dan masih dalam iddah. Dakwaan begitu tidak adil dan boleh menimbulkan kesedihan sesetengah pihak.Saya pun tidak mencari suami dalam masa terdekat.
“Perceraian saya pun bukan sebab mahu mengahwini orang lain. Saya tidak mahu fikir tentang hal itu dan tak mahu orang berfikiran tentang itu (mahu cari suami soleh),” jelas dalam sebuah video TikTok.
Bintang Sayu Yang Syukur itu mengakui semua orang termasuk dirinya mengimpikan pasangan (suami atau isteri) beriman yang mampu membimbing pasangan masuk syurga.
Atas alasan itulah Nora turut memuat naik dan mengulang siar video yang mengetengahkan mesej seorang suami harus membimbing isteri ke jalan Allah.
Dalam pada itu,Nora Mohd. Danish Hanif, 42, juga tampil menjelaskan status sebenar imejnya berhijab dan menutup aurat sehingga mengundang banyak tanda tanya ramai,
Katanya, dia mengenakan pakaian menutup aurat sepanjang menemani bekas suami di wad hospital bagi memudahkannya mengerjakan ibadah.
“Saya sebenarnya mahu berkongsi tentang penampilan saya kerana ramai yang mencetuskan tanda tanya.
“Seperti semua sedia maklum, Nedim sekarang di hospital dan saya menjaganya. Jadi, saya pakai pakaian yang senang untuk terus mengerjakan solat.
Dalam masa sama, saya juga mengaji. Jadi, senang untuk memakai pakaian menutup aurat,” katanya.
Nora juga enggan berkongsi lanjut berkaitan penyakit yang dihadapi Nedim sehingga terpaksa mendapat rawatan hanya tidak lama selepas mereka bercerai.
“Nedim sekarang berada dalam tempoh penyembuhan. Saya tidak boleh kongsikan maklumat tentang penyakitnya.
Itu adalah hal peribadi bagi pihak keluarga bekas suami,” ujarnya.
Semalam, Nora memuat naik foto memakai hijab dalam sebuah hantaran Instagram dan turut mengulang siar tulisan secara rawak tentang kesederhanaan atau modesty dalam berpakaian.
Terdahulu, Nora dan bekas suaminya Nedim Nazri bercerai pada 19 Jun lalu susulan pendedahan aktres tersebut berkenaan rumah tangga yang dibina sejak 2017 sedang bergolak.
Namun, aktres itu memaklumkan bahawa dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani situasi yang berlaku dengan sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Sebelum Nedim, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – HIBGLAM
View this post on Instagram