KETIKA pelakon seusianya bergelut dan ‘mengemis’ mencari peluang dalam dunia lakonan, situasi yang dilalui aktor ternama Datuk Rosyam Nor pula sebaliknya.
Masih dihujani dengan pelbagai tawaran lakonan, aktor berusia 57 tahun itu bersyukur bakatnya masih dipandang oleh pengkarya tempatan sehingga ke hari ini.
Bukan sahaja bersyukur, Rosyam atau Mohamed Nor Shamsuddin juga tidak menjadikan usianya yang bakal memasuki era ‘jubli intan’ itu sebagai alasan untuk menoktahkan kerjaya seninya.
Dia turut menjadikan portfolio ramai pelakon di Hollywood sebagai contoh dan semangat bagi meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
Selagi saya boleh bergerak, mempunyai kudrat dan stamina serta bakat masih diterima, saya akan berlakon sampai bila-bila.
“Kalau kita tengok pelakon di Hollywood semua sudah tua, elok sahaja berlakon sehingga ke hari ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berada dalam era kini, Rosyam mengakui perlu menggunakan kelebihan dan pengalaman yang dimilikinya sebagai pelakon untuk terus bersaing dengan lambakan bakat baharu dalam dunia perfileman.
Antara kelebihan yang dimilikinya adalah kemampuan melakukan babak aksi pada usianya kini.
Akuinya, kelebihan tersebut banyak membuka peluang rezeki kepadanya untuk terus relevan dalam karya pengarah baharu.
Kalau saya tak boleh berlakon filem aksi, tak dapatlah peluang bekerja dengan pengarah baharu.
“Saya perlukan kelebihan sebegitu untuk terus bersaing dengan pendatang baru dalam dunia lakonan. Namun, persainagn itu secara sihat.
Kalau asyik tolak (babak aksi) maksudnya saya menghukum jenama ‘Rosyam Nor’ itu sendiri. Jadi saya kena terima walaupun dalam usia sekarang,” ujarnya.

ROSYAM yang kini menjadi sebutan menerusi karakter Cikgu Sunan bersyukur kerana bakatnya masih dipandang pengkarya tempatan sehingga ke hari ini.
Dalam masa sama, bintang Duan Nago Bogho itu bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik dan diterima berlakon dalam filem aksi bersama bintang muda lain.
“Sehingga kini saya masih menerima tawaran berlakon filem aksi dan baru habis penggambaran dengan Syamsul Yusof dalam filem The Original Gangster. Kini saya sedang menjalani filem Keluang Man pula.
Syukur kerana masih menjadi pilihan para penerbit dan saya bernasib baik kerana mampu kekalkan stamina dan fizikal pada usia begini.
“Mungkin tidak selincah seperti waktu muda dulu tetapi dengan kemajuan teknologi dan teknikal yang ada sekarang ini, banyak yang boleh bantu kita,” katanya lagi.
Berkongsi sedikit mengenai filem baharunya, Memoir Seorang Guru, Rosyam mengakui tidak mesra dengan para pelakon cilik yang terlibat untuk naskhah arahan Kyoll Hamzah itu.
Pendekatan tersebut dilakukannya bagi memastikan mood dan jiwa untuk setiap watak pelakon cilik tidak terganggu selain mahu mendapatkan emosi ‘raw’ daripada mereka.
“Saya jarang menangis menonton filem, apatah lagi melihat lakonan sendiri. Selepas tonton filem ini, saya sangat terharu.
Sepanjang berada di set penggambaran, saya memang tak bercakap dengan pelakon-pelakon cilik itu sebab mahu jaga karakter Cikgu Sunan itu.
“Saya mahu mereka takut dengan karakter saya iaitu Cikgu Sunan. Dengan cara saya dan kelas oleh Elly Suriaty, mereka hadir dengan lakonan yang cukup hebat,” katanya penuh bangga.
Ditanya antara babak paling mencabar dan menjentik emosinya dalam filem ini, katanya adegan guru mencium tangan bekas muridnya.
“Semua meruntun emosi tetapi babak seorang guru yang meminta maaf dan mencium tangan anak murid dia sendiri paling buat saya terkesan.
“Sukar untuk rungkaikan perasaan itu tetapi babak tersebut menjadi perdebatan. Ada yang setuju dan ada yang tidak.
“Setiap individu ada cara untuk menilai, jadi semuanya terpulang kepada perspektif masing-masing,” ujarnya. – HIBGLAM