4 ‘sweetheart’ Korea Selatan

SEMAKIN lama makin ramai artis wanita muncul bagai cendawan selepas hujan sekali gus memeriahkan lagi industri hiburan.

Sekiranya mempunyai pakej kejelitaan, bijak berkomunikasi dan bakat luar biasa, lazimnya mereka diangkat sebagai idola ramai.

Kadangkala, perilaku dan pencapaian seni yang diperakui turut melayakkan mereka dijadikan ikon dalam memberi inspirasi serta tauladan kepada artis baharu.

Kali ini Daebak membawakan beberapa nama artis wanita bukan sahaja dipuja sebagai idola bahkan diangkat sebagai Nation’s Sweeheart dan Nation’s Little Sister dalam kalangan peminat.

IU

Luar biasa! Itulah kata-kata tepat buat penyanyi IU yang menjadi idola ramai sejak berusia 16 tahun lagi.

Meskipun masih muda, pemilik nama asal Lee Ji-eun itu sudah menerima gelaran Nation’s Little Sister dan Nation’s Sweetheart.

Selain suara yang lunak, dia juga mudah menerima pujian menerusi lakonan yang sangat meyakinkan dan cara layanan terhadap peminat.

Tidak dinafikan, selain kecantikan dan bakat dimiliki, pelakon drama popular Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo itu juga didambakan kerana sifat suka menderma.

Tidak hanya peminat biasa, dalam kalangan artis pun acap kali menyifatkan keperibadian IU sebagai seorang yang menginspirasikan.

Song Hye-kyo

Kecantikan dan sikap lemah lembut pelakon Song Hye-kyo mencuri perhatian hati ramai peminat seluruh dunia.

Disebabkan itu, dia antara selebriti wanita yang mendapat gelaran Nation’s First Love.

Tidak dinafikan kehebatan lakonan aktres berusia 42 tahun itu apabila kebanyakan naskhahnya sentiasa menjadi fenomena dan filem pecah panggung seperti Autumn In My Heart, Full House dan The Grandmaster.

Meskipun isu perceraiannya dengan pelakon Song Joong-ki menjadi perhatian tetapi kasih sayang peminat terhadapnya tidak pernah luntur mahupun terusik.

Kim Tae-hee

Mula terjebak dalam arena hiburan sejak 2001, kecantikan, sifat lemah lembut dan awet muda pelakon Kim Tae-hee sentiasa menjadi perhatian.

Tidak hairanlah dia sentiasa menerima pujian ‘sempurna’ dalam apa sahaja perkara yang diceburi atau dilakukan.

Malah, dia bukan sahaja diagungkan semasa bergelar artis tetapi pernah menjadi idaman setiap pelajar semasa menuntut di Seoul National University.

Kim Tae-hee juga mendapat jolokan uhm chin ddal of the country atau anak perempuan sempurna yang didambakan para ibu.

Bae Suzy

Sejak awal kemunculan dalam industri hiburan bersama kumpulan Miss A pada 2010, Bae Suzy sudah mencuri perhatian ramai.

Raut wajah jelita, bentuk tubuh menawan dan bakat yang luar biasa melayakkan dirinya diangkat sebagai idola, terutama peminat dalam kalangan gadis.

Pemilik nama asal bae Su-ji itu juga semestinya mudah mencairkan hati peminat lelaki dengan suara manja dan gerak tariannya sewaktu beraksi di pentas persembahan.

Selepas terjun dalam bidang lakonan, setiap naskhah lakonannya sentiasa mencetuskan fenomena.

Selain keperibadian dan pakej lengkap dimiliki, bintang berusia 29 tahun itu juga bersih daripada sebarang kontroversi melampau, seterusnya dikira layak menjulang gelaran Nation’s First Love dan Nation’s Sweetheart. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok