SUATU ketika dahulu, pelakon Pushpa pernah bergelar atlet bola jaring kebangsaan, namun hajat beraksi di Sukan Komanwel 1998 tidak kesampaian berikutan kecederaan pada kedua-dua belah kakinya.
Pushpa Narayan, 45, berkata filem Padu yang dibintanginya sangat terkesan di hatinya apabila kisah tersebut berkait rapat dengan pengalaman bersama pasukan Malaysia.
“Filem Padu sangat dekat di hati saya kerana saya pun mengalami nasib yang sama dalam cerita itu.
“Namun, saya tidak dapat peluang untuk bermain dalam pasukan negara kerana mengalami kecederaan pada kaki.
“Pada awalnya kejadian berlaku pada 1997 apabila perlawanan dengan Pulau Pinang, pada masa itu saya cedera di bahagian lutut,” kongsinya.
Tekad
Atas sebab tekad yang tinggi, dia tidak berputus asa untuk meneruskan latihan walaupun mengalami kecederaan pada lutut ketika itu.
“Setelah saya mengalami kecederaan di lutut, saya berehat selama dua hingga tiga minggu. Selepas itu, saya menjalani latihan semula dan ketika itu saya jatuh lagi mengakibatkan lutut saya semakin teruk.
“Pada waktu itu saya berehat selama setahun dengan menjalani rawatan rehab. Saya bina semula otot dengan berlari di dalam air untuk mendapatkan semua tenaga itu.
“Tetapi, nasib malang menimpa apabila saya mengalami kemalangan dan kecederaan itu di sebelah kaki saya lagi satu,” katanya.
Pushpa meluahkan rasa kecewa apabila sudah berlatih dan memberi usaha sehabis baik selama tiga tahun namun tidak dapat mara sebagai pemain Malaysia di Sukan Komanwel 1998.
“Saya sangat sedih kerana sudah menghabiskan masa dan tenaga saya untuk Sukan Komanwel 1998, namun disebabkan kecederaan di kedua-dua belah lutut, saya tidak dapat bermain.
“Lagi sedih apabila saya kemalangan pada Februari dan Sukan Komanwel berlangsung pada Ogos tahun itu, jarak yang sudah dekat,” katanya.
Sementara itu, dia turut berkongsi kesan yang berlaku ke atas dirinya selepas mengalami kecederaan tersebut.
“Kesan selepas cedera, saya tidak boleh berlari laju, tidak boleh melompat dan melakukan aktiviti lasak.
“Sebab saya ada empat skru di kaki, sebelah kaki cedera kerana latihan bola jaring, sebelah lagi kerana kemalangan,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon filem Padu itu juga bersyukur kerana ada rezeki lain yang menyebelahi dirinya selepas insiden yang berlaku.
“Selepas kejadian itu, saya sibukkan diri dengan bekerja dengan menjadi model ketika itu.
“Saya beransur-ansur masuk ke dunia lakonan selepas menjadi model, kalau tidak berlaku kecederaan tersebut mungkin saya akan menjadi pemain Malaysia ketika ini.
“Memang ditakdirkan rezeki saya dalam bidang lakonan,” jelasnya lagi.
Pushpa memegang watak ibu dalam filem Padu yang turut dibintangi Fify Azmi, Thanuja, Jojo Goh, Lim Mei Fan, Datin Seri Ummi Aida dan Lia Natalia.
Filem terbitan Global Station yang akan ditayangkan di pawagam bermula 6 Jun depan turut memaparkan perjalanan pasukan disebut sebagai Harimau Malaysia dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan SEABA 2014 di Semarang, Indonesia dan Sukan SEA 2015 di Singapura. – HIBGLAM