4 bintang korea anak selebriti terkenal

BUKAN mudah bergelar selebriti K-Pop, ada antara mereka perlu melalui pelbagai uji bakat mahupun mencuba nasib menerusi pelbagai platform untuk membina karier.

Pun begitu, ada juga antara mereka tiba-tiba muncul dalam industri seni menggunakan pengaruh ibu bapa yang sudah mencipta nama sebagai penghibur. 

Tidak dinafikan, ada yang mencuba sedaya upaya menyembunyikan hubungan mereka kerana bimbang dilabel menumpang populariti orang tua mereka.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa artis Korea Selatan yang mewarisi bakat daripada ibu bapa yang sudah berpuluh tahun menjadi pemain seni. 

Sieun

SIEUN mula dikenali sebagai pelakon kanak-kanak yang berbakat besar dan membintangi deretan drama popular.

Mengembangkan sayap seninya, wanita berusia 22 tahun itu memilih untuk debut sebagai anggota kumpulan STAYC pada 2019.

Apabila populariti kian memuncak, identitinya dikorek netizen sehingga terbongkar dia merupakan anak kepada penyanyi veteran Park Nam-jung.

Selepas perkara itu tersebar, Park Nam-jung mengakui bahawa Sieun merupakan puteri kesayangannya bahkan dengan bersemangat menari lagu STAYC berjudul So Bad.

Mc Gree

Siapa tidak kenal dengan penyanyi rap kontroversi McGree yang sentiasa meledak dalam media sosial dengan pelbagai isu.

Menjadi anak kepada pelawak dan pengacara popular, Kim Gura membuatkan pemuzik itu perlu bekerja keras membuktikan dirinya berbakat seperti bapanya.

Jejaka berusia 25 tahun itu enggan menumpang nama bapanya, namun Kim Gura bersungguh-sungguh menyokong karier dan karya putera kesayangannya itu.

Sokongan itu dapat dilihat apabila Kim Gura sentiasa mencuri masa mengunjungi studio MC Gree dan mempromosikan karya anaknya itu dalam media sosial.

Lee Yoo-jin

 

Bekas perserta Produce 101 ini merupakan anak kepada aktor Lee Hyo-jung.

 

Pada awalnya, Yoo-jin meminta agar hubungannya itu dirahsiakan kerana bimbang apa yang dilakukan bakal menjejaskan nama baik bapanya.

Namun, perkara berkenaan akhirnya terbongkar apabila bapanya sendiri mengakui idola berusia 32 tahun itu merupakan putera kesayangannya.

Susulan itu, mereka berdua kerap digandingkan dalam program temu bual dan pelbagai program hiburan.

Ramai memuji kualiti bakat yang dimiliki dua beranak itu dan menyifatkan si anak merupakan jelmaan baharu bapanya, namun dalam versi yang lebih unik. 

 

Hyunsik

 

TURUT disenaraikan Kimchi Panas minggu ini adalah anggota kumpulan BTOB, Hyunsik yang merupakan anak kepada penyanyi legenda, Im Ji-hoo.

 

 

Keakraban anak beranak itu dapat dilihat apabila sering muncul bersama dalam pelbagai program hiburan.

Bukan sahaja depan kamera, mereka juga selalu meluangkan masa bersama dengan memancing dan melancong ke luar negara.

Meskipun pada awalnya memilih untuk merahsiakan ada pertalian darah, mereka akhirnya mengaku apabila diasak netizen. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok