PENGACARA Ira Mohd. Amin bersyukur apabila anak sulungnya, Saif Zairil, 11, yang disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir sebulan dirawat di hospital.
Ujar Ira atau nama sebenarnya Zarith Adzmira Mohd. Amin, keluarganya kini bakal berdepan cabaran baru bagi memastikan persekitaran kediaman mereka bersih sepanjang proses pemulihan itu.
“Selepas 28 hari di hospital, abang Saif akhirnya kembali ke rumah. Rindu semua adik-adik.
Gembira abang dah balik, kini cabaran bermula. Pertempuran belum tamat, kami masih perlu bertarung dengan L (leukemia), mulalah enam bulan rawatan. Empat, lima kali seminggu ulang-alik ke hospital.
“Yang merisaukan macam mana nak pastikan Saif sihat, tak jatuh sakit dan tak terjangkit apa-apa?” katanya dalam perkongsian dalam media sosial.
Ibu kepada empat cahaya mata itu turut memohon doa agar proses penyembuhan putera sulung mereka berjalan lancar sehingga pulih sepenuhnya.
Tak senang duduk mama dan baba setiap saat. Ya Allah, permudahkan perjalanan Saif, berikanlah keajaiban dan hilangkanlah penyakit ini dari tubuh anakku,” ujarnya.
Ira juga tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan terhadap doktor dan semua petugas kesihatan yang menjaga Saif.
Terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang menjaga Saif hampir sebulan. Respect dengan mereka.
“Menjaga anak-anak hematology bukan perkara mudah. Mental dan fizikal kena kuat,” katanya.
Sebelum ini Ira mendedahkan anaknya itu sudah menjalani rawatan kemoterapi selain berkongsi video suaminya, Shazril Ezani membotakkan kepala sebagai tanda sokongan terhadap Saif.
Kanak-kanak tersebut disahkan menghidap ALL sekitar awal bulan lalu selepas menyedari terdapat tanda kemerahan pada kulitnya yang kemudian dirujuk kepada pakar. – HIBGLAM