Adriana Adnan lepas geram

SENTIASA membumi dan perbaiki kelemahan diri. Pendekatan sebegitulah perlu dipraktikkan setiap anak seni yang mencari rezeki dalam dunia hiburan tanah air demi konsistensi karier.

Ungkapan itu juga yang berulang kali ditegaskan pelakon Adriana Adnan saat dilayangkan pertanyaan tentang strategi memahat nama sebagai anak seni. 

Si jelita yang melabel diri sebagai masih ‘hijau’ itu mengakui, kelana seninya sehingga detik ini bukan mudah dan sudah melepasi banyak kegagalan.

Sedekad bergelumang sebagai pemain seni, wanita berusia 28 tahun itu nyatanya tiada lelah. Pelbagai strategi diatur demi melebarkan bakat yang enggan disia-siakan.

Terus mengorak langkah menceburi segala bidang daripada pelakon sehingga pengacara, Adriana kini mengukir satu lagi pencapaian dalam kerjayanya apabila berjaya melancarkan podcast atau audio siar kendaliannya sendiri berjudul Ruang Terbuka.

 RUANG Terbuka mula bersiaran setiap Rabu, pukul 5 petang menerusi saluran YouTube Adriana Adnan.

Meskipun sudah tidak lagi bergelar pengacara yang dahulunya sinonim mengendalikan program HLive, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui obsesi dalam dunia pengacaraan masih menebal.

“Sebenarnya dah macam-macam cabang seni saya cuba, paling selesa adalah mengacara selain berlakon. 

Saya memang dah berniat untuk teruskan karier dalam bidang pengacaraan selepas berhenti daripada HLive. Kita pula memang suka berborak dan bercakap dengan orang, jadi daripada situlah timbulnya idea untuk kendalikan Ruang Terbuka.

“Semuanya saya buat sendiri supaya segala konsep dan hala tuju perbualan saya boleh kawal. Tiada banyak kepala yang perlu saya ikut, lebih senang begitu,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya apakah keunikan audio siarnya berbanding lambakan yang lain, Adriana memberitahu sesiapa sahaja boleh menjadi tetamu Ruang Terbuka dan tidak terhad kepada selebriti atau pempengaruh sahaja.

Kata anak kepada pembaca berita dan pengacara RTM, Zamzarina Zambri itu, setiap tetamu akan membawa cerita dan pengalaman unik mereka sendiri, yang memberikan warna dan variasi kepada setiap episod. 

Saya mahu Ruang Terbuka menjadi tempat semua orang selesa untuk berkongsi cerita mereka, tidak kira siapa mereka.

“Walaupun dah berlambak podcast lain tetapi bagi saya perkara ini adalah benda yang bagus sebab orang akan ada pilihan untuk tengok mana satu.

Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan pelbagai pandangan dan cerita, saya mahu podcast ini menjadi satu ‘safe space’ untuk semua orang berkongsi apa mereka rasa dan alami,” tuturnya.

ADRIANA mengakui tidak pernah malu untuk menghadiri sesi uji bakat bagi meraih peluang lakonan.

Paling penting kata pelakon filem Merewang Keluarga Pak Awang itu, dia bukan sahala dapat melepaskan gian kembali mengacara apabila audio siar dilancarkan, namun dalam masa sama membuka ruang untuk tetamu berkongsi cerita lebih mendalam dan bermakna. 

Musim pertama Ruang Terbuka menampilkan tetamu-tetamu istimewa seperti Sheddy Ang, Cikgu Zizi Kirana, Liyana Jasmay, Aizat, Lisa, Hawa Ridzwana, Ahirie Ahiruddin dan Syamimia. 

Musim pertama sudah ada ramai selebriti dan pempengaruh, jadi untuk musim kedua nanti saya nak berikan ‘spotlight’ kepada orang biasa pula,” katanya yang berharap bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jalamaludin sudi menjadi tetamunya. 

Menyentuh perihal karier lakonan, Adriana mengakui masih aktif bahkan sudah menjayakan dua filem yang bakal ditayangkan tahun ini.

Projek terbaharu saya ialah megadrama yang akan mula penggambaran bulan hadapan. 

“Dua filem sudah selesai penggambaran tunggu masa ditayangkan,” katanya. 

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok