Tenyata saya silap, rindu masih ada – Stacy

PENYANYI Stacy Anam mengakui silap percaturan membuat persembahan berkisarkan mendiang abangnya, Chaq pada minggu kelima konsert The Hardest Singing Show (THSS) kelmarin.

Lebih teruk, tindakan Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, itu mengundang kemarahan bapanya, memandangkan keluarga masih terkesan dengan pemergian Chaq yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu di Hospital Sibu, Sarawak.

Malah, Stacy sendiri tidak menceritakan hal tersebut secara terbuka kerana masih berduka dengan pemergian abangnya yang juga bekas peserta Mentor musim ketiga.

Sebenarnya tadi (kelmarin) ayah saya telefon. Dia marah kerana mengapa dijadikan persembahan. Mereka tidak tahu tentang persembahan ini.

“Sejujurnya saya sendiri pun masih belum boleh mengatasi perasaan rindu sejak kehilangannya.

Saya fikir dengan membuat persembahan ditujukan khas buat dia, saya mungkin akan rasa tenang. Tetapi, saya ternyata silap kerana perasaan rindu itu tetap ada,” katanya kepada HibGlam.

Penyanyi lagu Kisah Dongeng itu juga memberitahu, sejak minggu pertama program THSS, dia sering mengalami serangan panik sebelum membuat persembahan.

Akuinya, hal tersebut amat jarang berlaku sebelum Chaq meninggal dunia.

Saya sangat jarang mengalami serangan panik, tetapi sejak minggu pertama saya mengalami serangan panik sebelum membuat persembahan. Mungkin kerana perkara seperti ini yang belum saya ‘selesaikan’.

“Bagaimanapun alhamdulilah persembahan ‘menjadi’ bila saya keluarkan emosi sebenar. Tetapi, saya perlu banyak belajar lagi untuk menyampaikan secara betul terutama persembahan yang melibatkan emosi,” katanya.

Stacy turut berterima kasih kepada mendiang Chaq kerana telah menjadi pendorongnya menceburi bidang nyanyian.

Sebelum ini Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, persembahan THSS yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras kelmarin menyaksikan Aepul Roza meraih tempat pertama dengan jumlah markah 90.53 peratus.

Sementara Stacy berada di posisi kedua dengan 84.17 peratus dan diikuti oleh Putera Muhammad (83.21 peratus), De Fam (81.75 peratus), Aisha Retno (81.18 peratus), Ayda Jebat (78.10 peratus) dan Zizi Kirana (67.30 peratus).

Tiada penyingkiran diumumkan pada minggu berkenaan.

Konsert THSS diadili tiga juri tetap iaitu Datuk Seri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak sementara juri jemputan bagi minggu tersebut ialah Datuk Yusry Abdul Halim.

Juara program tersebut akan membawa pulang wang tunai bernilai RM150,000 dan trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok