BAKAL menamatkan latihan ketenteraan pada 12 Jun nanti, anggota kumpulan BTS, Jin mengumumkan bakal memberikan pelukan percuma kepada 1,000 peminat bertuah yang tidak putus-putus menyokong karyanya.
Menurut sebuah laporan, idola berusia 31 itu akan melunaskan janji tersebut dalam sebuah acara bersama peminat sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas sokongan peminat sepanjang dua tahun dia menjalani latihan di kem tentera.
Syarikat pengurusan Jin iaitu BigHit Music memberitahu, Festa 2024 itu bakal diadakan di Kompleks Sukan Jamsil Seoul sekali gus meraikan ulang tahun BTS yang ke-11.
Menariknya, bagi peminat yang tidak berkesempatan untuk hadir ke acara tersebut, mereka boleh menonton secara langsung menerusi platform Weverse.
Festival selama dua minggu itu menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk tayangan konsert BTS dan mesej video ucapan daripada enam anggota lain kumpulan itu.
Jin adalah anggota BTS pertama yang menyertai latihan ketenteraan pada Disember 2022.
Enam lagi anggotanya iaitu J-Hope, Suga, RM, V, Jimin dan Jungkook masih lagi dalam latihan dan akan menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi. – HIBGLAM