Zianafolks keluarga saya – Ziana Zain

TANPA sokongan peminat, pasti tidak ada selebriti yang meraih populariti. Kehadiran mereka diakui penting dalam kerjaya seorang anak seni.

Perjalanan penyanyi terkemuka tanah air, Ziana Zain juga begitu. Kelana seninya tidak lengkap jika tiada Zianafolks sebagai tulang belakangnya.

Selama tiga dekad dalam industri muzik, sokongan peminat terhadap Ziana tidak tenggelam sehingga Zianafolks dianggap umpama keluarga sendiri.

Penyanyi berusia 56 tahun itu juga tidak meletakkan terhad masa jika ada ajakan pertemuan bersama peminat.

“Untuk berkumpul dengan peminat, saya serahkan kepada presiden Zianafolks uruskan dan saya tidak kisah jika melepak sehingga pukul 3 hingga 4 pagi bersama mereka.

“Saya juga okey sahaja menyertai aktiviti yang mereka mahu lakukan asalkan berjumpa untuk memuaskan hati dan memang tidak meletakkan ketetapan waktu untuk berjumpa.

“Ini adalah memori mereka (Zianafolks) bersama saya. Jadi saya raikan sepertimana mereka raikan saya sebagai Ziana Zain,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

ZIANA terkenal dengan sikap mesra dan sentiasa menjaga hubungan baik dengan peminat.

Tidak hirau gelaran diva, pemilik nama lengkap Siti Roziana Zain itu juga tidak berkira soal lokasi untuk meluangkan masa bersama peminat.

“Saya pernah melepak di kedai mamak bersama mereka, pada ketika itu mereka menggabungkan meja panjang sehingga 20 ke 30 orang berkumpul.

“Ketika itu, saya melayani karenah mereka secara adil bermula dari sudut hujung, tengah dan berpatah balik sehingga mereka berpuas hati.

“Sebenarnya saya bersifat terbuka dengan mereka. Saya pernah sahaja pergi ke Bistro untuk melepak bersama mereka, jadi saya tidak berkira soal tempat pertemuan,” katanya.

Bagi Ziana, statusnya sebagai penyanyi bukanlah satu halangan untuk melayani peminat seadil-adilnya.

ZIANA bersama sebahagian peminat yang hadir meraikan sambutan hari lahirnya yang ke-56 baru-baru ini.

“Status adalah status, pangkat orang sudah bagi dekat saya tetapi saya masih seperti manusia biasa.

“Jadi untuk meraikan mereka apa lah sangat, tidak setanding sokongan mereka yang menadah telinga mendengar lagu Ziana Zain sejak dahulu hingga sekarang,” jelasnya.

Zianafolks

Berkongsi lanjut, pembentukan Zianafolks pada awalnya ditubuhkan salah seorang peminatnya.

“Pembentukan Zianafolks sebenarnya bermula sekitar 1994 atau 1996 oleh seorang peminat saya. Mereka juga menubuhkan pejabat sendiri pada ketika itu.

“Namun, pernah dibubarkan pada suatu ketika tetapi mula ditubuhkan semula sehingga kini mereka mencipta satu ‘group’ untuk berbincang semua perkara di situ,” jelasnya usai sambutan hari lahirnya.

Pada majlis meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-56, Ziana turut diraikan rakan-rakan terdekat dan kelab peminat, Zianafolks. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok