Setelah menamatkan perkhidmatannya di stesen radio Suria FM, Tyzo mengakui langsung tidak berhubung dengan bekas rakan sekerjanya, DJ Lin sejak Januari lalu.
Kata Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnaim Idris, sejak nombor telefon dan media sosial disekat, dia langsung tidak bertanya khabar.
Selepas peristiwa itu kami memang tidak berhubung begitu juga sepanjang Ramadan dan Syawal baru-baru ini. Saling tidak bertemu dan tiada bermaaf-maafan.
“Akaun media sosial saya juga sudah disekat, sedangkan saya tidak menyekat sesiapa,” katanya kepada HibGlam.
Biarpun krisis antara mereka sudah lama berlalu, namun Tyzo tidak mengharapkan untuk bertemu empat mata dengan kerana bimbang akan bertegang urat.
Tiada masalah jika tidak berhubung. Apa yang saya bimbang ialah jika berjumpa secara berhadapan, saya akan ‘sound’ dia.
“Saya ada berjumpa dengan rakan-rakan di tempat kerja sebelum ini, kami tiada masalah kerana permasalahan itu melibatkan dua individu sahaja.
“Tetapi, bagi mereka yang turut tidak berkawan dengan saya itu kerana mereka yang bermasalah,” katanya.
Tyzo kini mengendalikan segmen Inspirasi Pagi di stesen radio Ikim FM bersama penyampai Sufian Amrin dan Luqman Hakim bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
Selain itu, dia juga fokus terhadap pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) miliknya iaitu Pertubuhan Kasih Tyzo yang memberi fokus kepada bantuan pendidikan dan sarapan pagi pelajar miskin bandar menerusi program Sarapan Pagi Kasih Tyzo.
Untuk rekod, pertubuhan tersebut sebelum ini telah menyalurkan sumbangan kepada 45 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dharma, Kuala Lumpur baru-baru ini. – HIBGLAM