Sudahlah popular, ada restoran sendiri pula

MEMBUKA perniagaan sendiri antara fasa persediaan masa depan bagi sebilangan selebriti biarpun ketika nama mereka masih di puncak dan rancak memenuhi tawaran karier mahupun kolaborasi dengan jenama mewah.

Melihat prospek bisnes dalam menjana pendapatan tambahan seterusnya mengukuhkan jenama sendiri, artis yang berfikiran jauh sedia melabur demi masa depan.

Ada yang berniaga sebagai hobi dan sebilangan pula aktif mewujudkan jaringan pasaran.

Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa nama selebriti Korea yang cenderung terhadap bisnes makanan sehingga sanggup membuka kafe sendiri.

Yesung Super Junior

BEKERJASAMA bersama adiknya iaitu seorang barista, penyanyi kumpulan Super Junior, Yesung kini mengusahakan sebuah kafe bernama Cafe Mouse Rabbit.

Kafe yang terletak berhampiran Universiti Konkuk di Seoul dibuka di ruang bawah tanah yang menyerupai bar.

Bukan hanya menyediakan ruang gelap, Cafe Mouse Rabbit ini menyediakan tingkat satu dan dua yang lebih cerah.

Rakan selebriti iaitu Choi Siwon pernah berkunjung di sana dan menyukai segala-galanya tentang kafe tersebut.

Jin BTS

BAGI sesiapa yang menuju ke Lotte World Tower untuk melihat bangunan pencakar langit, boleh singgah di Otsu Seiromushi yang dibuka oleh ahli BTS, Jin.

Meskipun sibuk dengan karier, Jin berjaya membuka restoran tersebut bersama abangnya, Kim Seok Joong pada 2018 dan kini dikendalikan abangnya.

Hanya 13 minit dari Lotte World Tower, keistimewaan restoran tersebut adalah ‘pyeonbaek jjim’ iaitu hidangan Jepun yang dimasak dengan cara kukus.

Song Mino

SELAIN muzik, penyanyi kumpulan Winner iaitu Song Mino juga amat meminati seni lukisan.

Semuanya dilihat menerusi Osechill Cafe miliknya yang mempamerkan pelbagai karya yang dilukis sendiri.

Mino turut memaklumkan kafe yang terletak di Hapjeong, Mapo-gu tersebut dibuka sejak Mac 2020 sebagai hadiah istimewa untuk ibunya.

Baek Jong-won

CEF selebriti, Baek Jong-won boleh diklasifikasikan sebagai taikun perniagaan makanan dan minuman di Korea Selatan dengan francais di beberapa daerah termasuk di Seoul.

Kerjaya Jong-won dalam bidang perniagaan bermula dengan sebuah restoran sambap (nasi bungkus Korea) pada 1993.

Ketika itu, dia tidak terlalu serius dalam perniagaan restoran sebaliknya, lebih berminat menjadi peniaga katu bertaraf dunia.

Kini, dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Theborn Korea Inc yang berjaya menghasilkan 26 francais restoran dengan 1,299 cawangan di seluruh negara termasuk Saemaul Sikdang, Baek’s Coffee dan Baek’s Bibim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok