PEMIKIRAN positif elak saya daripada rasa ‘moody’ atau sedih.
Itu kata Bella Astillah yang sentiasa memastikan dirinya berada dalam zon positif bagi memastikan kehidupan harian termasuk emosinya tidak terganggu dengan isu kemelut rumah tangganya dengan penyanyi, Aliff Aziz ketika ini.
Menurut Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, perkara itu membantunya agar tidak terus hanyut dengan emosi sedih berkaitan kontroversi yang melanda.
“Sokongan daripada keluarga sangat penting ketika ini.
Dalam tempoh ini, saya memang akan selalu letak diri dalam keadaan positif sebab boleh bantu kita menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Tambah pelakon drama Leha, Leya Lawa itu, ‘overthinking’ atau terlalu banyak berfikir tentang masalah yang berlaku bukan cara penyelesaian yang baik malah boleh mengundang kesan negatif lain.
“Kalau banyak sangat berfikir, benda itu sedikit sebanyak akan beri kesan kepada kehidupan.
“Jadi, sekarang saya banyak bercakap dengan diri sendiri bahawa perlu menerima dan menjalani sakitnya, barulah kita akan lupa cintanya,” ujarnya.
Tambah Bella lagi, selain sokongan keluarga, dua anaknya iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna menjadi sumber kekuatannya untuk terus kuat mencari rezeki.
Adakalanya kita rasa penat, kecewa atau sedih tetapi apabila tengok muka anak, semuanya akan ‘settle’
“Sebagai ibu, anak-anaklah kekuatan saya. Terus ‘move on’ dan jalani hidup seperti biasa,” katanya lagi.
Sebelum ini, rumah tangga Bella dan Aliff sekali lagi menjadi topik hangat apabila selebriti kelahiran Singapura itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon,Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Rentetan itu, Bella nekad memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu.
Namun, pasangan selebriti itu diperintah hadir proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun depan berikutan aktor itu tidak bersetuju dengan permohonan cerai difailkan isteri atas alasan masih sayangkan keluarga. – HIBGLAM