BARU-BARU ini heboh mengatakan sebuah syarikat memperbaharui insurans kenderaan tidak mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan urusan tersebut.
Meskipun tidak terlibat secara serius, namun wajah suami kepada penyanyi Ayda Jebat iaitu Nabil Mahir pernah muncul dalam sebuah iklan aplikasi tersebut.
Mengakui terkejut dengan perkara itu, pengacara dan model itu bagaimanapun tidak menjadikan hal tersebut menyebabkan dia berasa trauma atau takut untuk terlibat dalam sebarang iklan produk.
“Saya sendiri pernah menggunakan aplikasi tersebut untuk memperbaharui insurans kereta. Bagi saya mudah, cepat dan dan senang. Segalanya nampak profesional.
“Sekiranya soal tidak mendapat kebenaran JPJ, hal itu di luar bidang kuasa saya. Berdasarkan pengalaman, saya tidak mempunyai masalah menggunakan aplikasi tersebut.
“Diharapkan selepas ini syarikat tersebut mendapatkan kebenaran dan apa sahaja piawaian yang diperlukan bagi melancarkan urusan mereka,” katanya kepada Pose.
Mengulas lanjut, Nabil mengakui dia selesa menggunakan barangan atau produk sebelum terlibat dalam aktiviti promosi.
“Saya menggunakan dahulu produk tersebut sebelum terlibat dalam promosi. Tidak mengira sama ada perlu dimakan atau dipakai. Bila sudah ada pengalaman menggunakan produk tersebut, baharu kita tahu berkesan atau tidak.
“Jika bukan digunakan, saya bersama pengurusan akan berbincang dan membuat kajian mengenai syarikat tersebut sebelum memberi kata putus,” katanya.
Nabil juga memberitahu bahawa dia akan terus bersikap selektif terhadap jenama barangan atau produk sebelum bersetuju untuk menyertai iklan atau promosi.
Baginya penglibatan dalam mempromosikan sebarang barangan secara tidak langsung mempengaruhi tahap profesional dirinya sebagai selebriti.
Tidak mengatakan dirinya cerewet, tetapi hal yang melihatkan kerjaya perlu dipandang serius kerana tersilap langkah mampu memberi kesan kepada perjalanan kerjaya.
“Saya memang memilih dalam bab promosi barang. Beberapa klien juga sudah mengetahui bagaimana sikap saya.
“Jika ada jenama yang ditolak, perkara itu mungkin disebabkan ada beberapa hal tidak bersesuaian atau masalah lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nabil kini sedang sibuk bertindak sebagai pengarah konsep buat isterinya yang menyertai pertandingan nyanyian, The Hardest Singing Show yang akan memulakan tayangan bermula hari ini di Astro Ria.