Perlu taruhan Luca Sickta, Kmy Kmo, Yonnyboii

TIGA bintang hip-hop, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Yonnyboii sudah tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia.

Sejak membuat kemunculan beberapa tahun yang lalu, nama mereka kerap menjadi sebutan impak serlahan lagu-lagu hit yang pernah dihasilkan bersama nama-nama besar seperti Datuk Seri Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Sufian Suhaimi.

Terbaharu, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Yonnyboii bergabung lagi memperkenalkan sebuah lagi karya istimewa berjudul Perlu. Melodi dan lirik diiilhamkan bersama dan masing-masing turut bertindak selaku komposer dan penulis.

“Saya membayangkan seolah-olah saya sedang berbual dengan diri saya dari masa lalu dan sedang cuba menyelamatkannya daripada masalah yang mengelilinginya.

“Saya ingin menyampaikan bahawa kita harus selalu menikmati hari ini dan jangan ragu-ragu walau apa pun yang bakal tiba di masa hadapan,” ujar Yonnyboii tentang lagu berkenaan.

DIMULAKAN sejak 2021, hanya pada tahun ini barulah lagu Perlu dapat dilancarkan oleh Luca, Kmy dan Yonnyboii.

Berbicara mengenai proses penciptaan dan penerbitan, Luca Sickta menjelaskan, demo versi pertama Perlu sebenarnya telah dirakam pada tahun 2021 oleh Yonnyboii, namun digubah kembali untuk mendapat keserasian bersama.

“Proses gubahan muzik memakan masa dua tahun dan akhirnya siap pada penghujung 2023 setelah selesai proses rakaman bersama Kmy Kmo.

“Untuk lagu Perlu, saya dan Kmy keluar dari zon selesa dan membayangkan kami sendiri berada dalam dunia Yonnyboii untuk mendapat keserasian.

“Makan masa yang agak lama dari biasa, namun dengan kesefahaman antara kami semua mampu dibina kerana initipati lagu Perlu sendiri telah memudahkan dan menyempurnakan karya kali ini,” jelas Luca Sickta.

Tidak sekadar lagu, Perlu juga hadir bersama sebuah video muzik.

“Konsep untuk video muzik lagu Perlu lebih ke arah penonjolan perspektif dua dunia berbeza dari setiap karakter yang ingin menceritakan perjalanan masing-masing.

“Lagu berkenaan mengisahkan kita semua yang sentiasa hidup dalam dua watak berbeza. Bila setiap kali kita jatuh dengan watak negatif, watak positif akan hadir untuk bantu membakar semangat supaya kita terus yakin dalam setiap hasil usaha,” tambah Kmy Kmo tentang video muzik lagu berkenaan.

Tiga karyawan hip-hop itu juga mengakui, banyak lagi karya yang bakal dikeluarkan dan mereka sangat berharap supaya semuanya sempat dilancarkan pada tahun ini.

“Apa yang saya harapkan adalah semoga lagu Perlu diterima ramai.

“Saya juga harap, para pendengar dapat menghayati setiap bait-bait lirik yang sarat dengan nilai-nilai murni untuk dijadikan pelita hidup,” tambah Kmy Kmo menutup bicara.

Perlu boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 26 April lalu.

Muzik video juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Kmy Kmo bermula 26 April 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok