BERSIH daripada sebarang onar, itu persepsi umum tentang penyanyi Sarah Suhairi jika dibandingkan dengan beberapa artis yang seangkatan dengannya.
Belum pernah namanya terseret dalam kontroversi murahan, namun siapa sangka gadis berusia 24 tahun yang ceria selain aktif melakukan urusan peribadi dan karier sebenarnya bergelut dengan situasi menakutkan.
Jika dahulu penyanyi ini pernah berkongsi diekori ‘stalker’ atau penghendap sehingga trauma, kini lain pula ceritanya apabila wajahnya diguna pakai seorang individu tidak dikenali dalam satu aplikasi yang dipercayai scammer.
Kata Sarah, tujuan utama individu terbabit adalah untuk memperdaya khalayak khususnya golongan lelaki muda.
Lebih teruk individu tersebut bukan sahaja menyamar menggunakan wajahnya malah berani mati mengaku dirinya sebagai ‘sugar mummy’ bagi menipu mangsa untuk meminta wang.
“Saya baru sahaja dapat tahu mengenai perkara ini apabila pihak pengurusan, Rusa Music memaklumkan ada individu membuat aduan ditipu wanita yang menyamar sebagai saya.
“Tak pasti sama ada menerusi aplikasi cari jodoh atau Telegram, tetapi individu itu mengguna pakai gambar-gambar saya selain mendakwa dirinya sebagai ‘sugar mummy’.
“Mangsa mengadu kepada pihak pengurusan saya kerana mengaku telah ditipu dan kerugian sejumlah wang yang banyak. Kata mangsa, muka memang saya tetapi nama Asim Binit,” dedahnya kepada Pose.
Tidak tahu menahu, pelantun lagu SAH itu mengakui bingung sejak bila kejadian sedemikian telah berlaku, namun pada masa sama gusar sekiranya perkara isu berlarutan dan membabitkan lebih ramai lagi mangsa.
“Bengang memang bengang tapi apa yang saya bimbangkan sekarang ialah takut ramai lagi terperdaya dan kerugian sekali gus menyalahkan saya sedangkan sudah terang lagi bersuluh bukan saya.
“Pendek kata memang mustahil saya ini seorang ‘sugar mummy’! Memang tak logik. Saya pun tak pernah tipu atau buat kerja-kerja begitu, tidak berkat dan bukan itu cara saya dalam mencari rezeki.
“Bukan itu sahaja, saya juga risau perkara ini andai dibiarkan akan menjejaskan imej saya. Ini pertama kali berlaku dalam hidup sepanjang saya bergelar anak seni,” jelasnya gusar.
Enggan nama terus dipergunakan, wanita bermata bundar tidak teragak-agak akan membuat laporan polis sekiranya perkara itu masih berlarutan.
“Saya akan buat laporan polis mengenai perkara ini. Ini bukan kes main-main.
“Saya harap mereka yang jadi mangsa juga kena tampil buat laporan polis, jangan biarkan sampah masyarakat seperti itu bersenang lenang mengaut keuntungan atas nama orang lain.
“Saya juga berharap, orang ramai berhati-hati dan ambil maklum mengenai perkara ini.
“Jika ternampak ada orang yang menggunakan wajah saya, jangan percaya, itu bukan saya,” tegasnya menutup bicara.