Konsert Revolusi tanda ‘comeback’ Sofea Legacy, SYJ Pewaris

KEBANGKITAN banyak band otai menyuntik inspirasi kepada kumpulan rock popular 1980-an merealisasikan sebuah konsert dinamakan Revolusi Sofea Legacy vs SYJ Pewaris pada 13 Julai depan.

Anggota asal merangkap vokalis SYJ, Alang atau nama sebenarnya Zalalluddin Sulaiman, 55, berkata persembahan di Warisan Studio Hall, Sijangkang, Selangor itu sebagai gabungan antara Sofea Legacy dan SYJ Pewaris.

Katanya, dua band yang turut dibarisi anggota lama namun membariskan ahli bahau itu dihidupkan selepas berdekad SYJ ditubuhkan demi memastikan kesinambungan band rock kapak terbabit.

“SYJ adalah singkatan nama pengasas, Syed Yusof Jamalullail dan Sofea pula adalah jenama hak milik Man Rani dan Amir selepas mereka tinggalkan SYJ pada 1987.

“Cuma Sofea awalnya masih menggunakan logo SYJ berbayang di belakang logo Sofea sebagai maksud yang mereka adalah bekas SYJ tetapi hubungan sesama band tetap baik sampai sekarang.

“Selepas berpuluh tahun menghiburkan peminat dan kemudian berehat seketika, kini kami kembali aktif menerusi konsert Sofea Legacy vs SYJ Pewaris yang juga penjenamaan Sofea Legacy dan SYJ Pewaris,” katanya.

Teruja dengan projek kolaborasi antara Mentari Merah Entertainment dan Warisan Hall Studio itu, konsert yang dibuka kepada 300 penonton itu juga dianggap sebagai persembahan pemanas.

Bakal membawakan lebih 20 dendangan, Alang turut berkongsi mengenai jualan album baharu berjudul Kembalilah yang memuatkan sembilan lagu bersama satu minus one.

“Katalog lagu SYJ dan Sofea sangat banyak antaranya Garisan Dipersimpangan, Anak Liar, Hujan Kawasan Larangan, Syurga Di Hujung Jarum, Bunga Padang Pasir dan Orang Timur.

“Pada konsert tersebut juga kami perdengarkan beberapa lagu baharu iaitu Bidadari, manakala album baharu yang sudah dijual sebanyak 300 unit turut dijual di venue konsert nanti,” ujarnya.

Menurut Alang lagi, jika mendapat sokongan penaja, konsep konsert sama bakal dibawakan ke lokasi lain atau diadakan pada skala lebih besar di masa depan.

Sementara itu, jurucakap penganjur, Sahir Ismail berkata selain menawarkan hadiah cabutan bertuah dan ganjaran untuk penonton berpakaian rock terbaik, sebahagian hasil jualan tiketb turut disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Dalam berhibur kita tidak melupakan insan memerlukan dengan menyerahkan hasil jualan tiket untuk meringankan beban,” ujarnya.

Sebagai pelengkap, kumpulan Bloodbrothers diundang membuat penampilan sebagai artis jemputan konsert ini.

Tiket dijual pada harga RM90, manakala pemegang tiket RM180 iaitu tempat duduk VIP pula diberikan pakej baju T, lanyard, poster serta makanan ringan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok