KEKUATAN vokal bintang baharu yang rancak mencipta nama, Aisha Retno boleh dikategorikan sejajar dengan barisan penyanyi senior kelas A seperti Misha Omar, Dayang Nurfaizah mahupun Ziana Zain.
Memiliki pesona tersendiri, perjalanan kerjaya Aisha dilihat menyerlah cemerlang saat menyertai rancangan realiti nyanyian Big Stage musim keempat pada 2022.
Berjaya meraih kedudukan ketiga, Aisha perlahan-lahan mencipta nama dengan menghasilkan karya berkualiti, di samping kreativiti persembahan pentas yang memukau khalayak.
Namun, di sebalik ramah dan murah senyumannya, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 24, mengakui, segala yang digapai kini tidak mudah. Bukan sahaja menuntut kerja keras, minda positif juga harus seiring.
Akuinya, dia perlu bertarung dengan perasaan sendiri, terutama apabila terkena serangan panik. Situasi tersebut bukan sahaja membuatkan dia gelisah, malah pernah menyebabkan dirinya jatuh pengsan.
Sedikit informasi, serangan panik sebenarnya satu ketakutan yang berlaku secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan tindak balas fizikal secara drastik walaupun tidak berdepan ancaman.
Kembali bertanding kini menerusi The Hardest Singing Show, pelantun Sutera itu berkongsi pendekatan yang dijadikan rutin, sekiranya simpton serangan panik mengganggu jiwa
KOSMO!: Melepasi minggu ketiga The Hardest Singing Show, bagaimana debaran Aisha ketika ini?
AISHA RETNO: Rancangan ini memberikan saya pengalaman baharu dan mengasah kreativiti. Tidak dinafikan saya bersaing dengan mereka yang sudah berpengalaman dalam industri. Saya pula masih baru, biarpun ada yang mengatakan sudah menyertai pelbagai program realiti nyanyian, tetapi saya tetap baru bergelar penyanyi.
Sesetengah orang beranggapan program ini sama seperti pertandingan nyanyian lain. Tetapi, pada saya tidak. Sebab rancangan ini membuatkan artis itu perlu tampil kreatif untuk memberi persembahan terbaik di samping gaya nyanyian berkualiti.
Boleh dikatakan juga peminat mengharapkan setiap minggu persembahan peserta setanding dengan Anugerah Juara Lagu.
Tidakkah anda akan berasa tertekan kerana sentiasa perlu memikirkan idea di luar kotak setiap minggu?
Ada sedikit, tetapi itu semua membakar semangat. Pertandingan ini bukan sahaja mempamerkan kreativiti persembahan, tetapi menitikberatkan kualiti nyanyian dengan aksi tarian dan persembahan mencabar.
Kuncinya adalah semangat. Saya tahu sejak kebelakangan ini telah beberapa kali saya pengsan.
Namun, saya tidak mahu perkara itu menjadi alasan untuk saya tidak memberikan yang terbaik.
Bagi saya, sakit itu sebagai pembangkit semangat untuk jadi lebih kuat dan buat sehabis baik kerana penonton juga tahu program ini memang sukar.
Sakit itu memang sakit, sudah tidak boleh dielak. Paling utama, kuatkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik, bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi untuk peminat semua.
Bagaimana tahap kesihatan anda sehingga kerap tidak sedarkan diri?
Saya mempunyai sejarah serangan panik. Perkara itu berlaku secara perlahan-lahan dan kemudian akan membawa kepada pengsan. Situasi bertambah buruk sekiranya saya tidak sihat.
Saya faham, bekerja dalam industri sebegini perkara sebegitu mungkin seharusnya tidak perlu berlaku. Tetapi, apakan daya sebab jika hal itu ingin terjadi, memang tidak boleh dielakkan.
Namun, saya sentiasa berusaha untuk memastikan agar perkara sebegitu tidak terulang. Apa yang terjadi saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk positif dan terus menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan baik. Bagi saya, serangan panik ini buat saya lebih kuat.
Saya juga ada mendapatkan suntikan (atas nasihat doktor) bagi membantu merawat penyakit tersebut selain membantu saya lebih tenang dan bertenaga.
Bagaimanakah pula reaksi keluarga terhadap masalah anda?
Keluarga banyak memberi sokongan. Mereka juga membantu memastikan saya menjaga pemakanan dengan baik dan membantu agar mendapatkan rawatan secara harian.
Adakah serangan panik itu mengganggu waktu bekerja?
Penjagaan kesihatan dan rawatan yang betul dapat membantu. Saya kena makan secara teratur dan seimbang waktu tidur.
Sejujurnya saya tidak menghalang pihak pengurusan untuk menetapkan jadual kerja yang padat untuk saya. Sebenarnya saya gembira kerana berpeluang untuk membuat persembahan.
Saya akan rasa lagi sedih jika duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.
Walaupun ada 20 ekor kucing, tetapi saya lebih senang untuk bekerja kerana akan membantu saya untuk mengurangkan tekanan.
Pelik bukan. Sesetengah orang kerja itu satu tekanan, tetapi bagi saya kerja ini satu terapi untuk saya lebih fokus dan tidak memikirkan perkara lain. – HIBGLAM