Kekal unggul, Ziana Zain tiada tandingan

TIADA ganti, masih gemilang pada usia 56 tahun. Ungkapan sebegitu cukup menggambarkan kehebatan pemilik nama penuh Siti Roziana Zain pada konsert solonya di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Berada di posisi seorang Ziana Zain, itu status tidak tidak mudah dilaluinya sejak 22 tahun lalu. Banyak yang telah ditempuhi untuk berada dalam kelompok penyanyi papan atas. 

Untuk berdiri di pentas konsert solo juga dia harus melalui pelbagai pertimbangan, pujukan dan kebimbangan sebelum terlestari jaya.

Meskipun begitu, semua halangan tersebut berjaya direntasnya sehingga terhasil memori istimewa buat peminat pada konsert yang julung kali diadakannya sebagai penyanyi solo.

BERUSAHA mengekalkan momentum energi di pentas, Ziana mengakui sorakan peminat ibarat ‘booster’ untuknya terus memberi persembahan dan nyanyian terbaik.

Tampil dalam persalinan pertama yang indah hasil rekaan Rizman Ruzaini, Ziana memulakan persembahan solo menerusi tiga buah lagu rancak Ada Suara Ada Cinta, Dengarkanlah dan Satu Detik.

Ada ketika, nyanyian Ziana kedengaran terganggu dek masalah teknikal, namun kelemahan tersebut berjaya ‘disorok’ dengan cara profesional dan tidak mencacatkan persembahan bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.

“Malam ini lebih kepada momen bersama peminat yang membesar dengan seleksi lagu dan filem lakonan saya seperti Maria Mariana dan Sembilu.

Kebanyakkan lagu saya memang banyak menceritakan tentang perjalanan seni dan sisi peribadi saya sebagai Ziana Zain atau Siti Rosziana Zain.

“Syukur, akhirnya impian untuk adakan konsert solo untuk anda semua tercapai. Terima kasih kepada Anuar Zain dan adik-beradik kerana percaya dan yakin saya mampu untuk lakukannya,” katanya membuka bicara.

ZIANA terharu dan sebak apabila berpeluang menyarungkan gaun hitam sentuhan pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim dalam konsert solonya.

Seterusnya, seluruh Mega Star kembali diperdengarkan nyanyian hebat Ziana menerusi Kasih Ku Pertahankan yang disifatkan antara lagu paling mencabar, selain Tiada Kepastian dan salah satu lagu berhantunya, Anggapanmu.

Penantian penonton yang berharap Datuk Awie muncul di pentas meleset bagi persembahan Senja Nan Merah yang pernah menjadi runut bunyi bagi filem Merah lakonan mereka berdua.

Namun Ziana berjaya ‘memancing’ penonton untuk berduet dengannya bagi lagu tersebut menggantikan Awie.

Selain menyanyi, Ziana santai berceloteh di pentas dan kali ini, dadanya sebak apabila berkongsi tentang ibu bapanya yang tidak pernah lekang dalam memberi semangat meskipun semakin dimamah usia.

Saya diajar oleh ibu bapa supaya sentiasa bersangka baik  dalam semua hubungan termasuk rumah tangga tetapi akhirnya perkara itu berkecai jua.

“Namun, saya tak pernah kesal dan teruskan hidup bersama anak-anak yang merupakan sumber kekuatan.

Walaupun sakit tetapi saya syukur kerana dipilih Allah untuk melaluinya. Sekian ceramah daripada saya,” ujarnya tertawa kecil sebelum mendendangkan lagu Bersama Akhirnya, Kekal dan Puncak Kasih.

SEBAGAI kejutan buat peminat, Ziana mengumumkan sebuah lagi konsert solonya yang berlangsung di Singapura pada September depan.

Bertukar kepada persalinan ketiga rekaan Ezuwan Ismail,  anak kelahiran Selangor itu tidak berlengah-lengah dalam segmen terakhir dengan terus menghiburkan lebih 5,000 penonton menerusi rangkaian lagu hitsnya.

Lagu Setiaku Di Sini, Kemelut Di Muara Kasih dan Berpisah Jua berjaya membuatkan bulu roma ramai penonton meremang. Lain rasanya apabila didendangkan secara ‘live’ pada konsert kali ini.

Sebelum mengakhiri acara anjuran CSA Academy Anuar Zain Network dan Ziana Zain Network itu, dia sekali lagi menzahirkan penghargaan buat para peminatnya yang sanggup menabung untuk membeli tiket barisan hadapan untuk konsert solonya.

“Rasa terharu dan sebak mengenangkan apabila ada peminat sanggup menabung sebab nak duduk di barisan depan. Kalau saya ada banyak duit, memang saya beri.

“Saya sedih nak tinggalkan anda semua malam ini. Mohon doakan agar saya diberi kesihatan yang baik dan panjang umur untuk terus menghiburkan anda semua,” katanya dalam nada sebak.

Ziana seterusnya menutup persembahan menerusi lagu Dingin dan Madah Berhelah yang emosinya berjaya menusuk jiwa setiap penonton. – HIBGLAM 

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok