TERKILAN dengan tindakan abang iparnya, penyanyi Didi Astillah meluahkan rasa kesal terhadap Aliff Aziz yang berterusan menipu berkaitan hal rumah tangga dengan Bella Astillah.
Berat sebelah, Didi atau nama sebenar Dayang Nazilah Awang Astillah, 27, menyifatkan temu bual Aliff bersama sebuah audio siar dalam saluran YouTube sebagai satu lagi cubaan untuk menjatuhkan kakaknya.
“Jadi inilah rancangan terakhir dengan si Ruhainies itu ya? Jalan terakhir nak jatuhkan Kak Long (Bella) lepas pakai ‘cybertrooper’ tak berjaya.
“Sampai hati abang (Aliff) tipu orang untuk kebaikan diri sendiri dan si R (Ruhainies),” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.
Cakap tidak serupa bikin, pelantun lagu Fikirkan Kamu itu juga mendakwa layanan bak puteri diberikan Aliff kepada Bella seperti didakwa dalam audio siar itu hanya sementara dan berubah setelah mengenali Ruhainies.
“’Princess treatment’ yang awak (Aliff) cakap bagi dekat Kak Long hanya untuk beberapa bulan
“Semuanya berubah sehinggalah awak ‘shooting’ dengan si R (Ruhainies), habis kata laluan semua ditukar,” dedahnya.
Pada masa sama, Didi turut berkongsi tangkap layar perbualan mesej pelantun lagu Sayang Sayang itu bersama seorang individu, NRF yang dipercayai sebagai Ruhainies.
Menerusi perkongsian tersebut, Aliff dilihat meminta pandangan NRF untuk meneruskan perancangan selepas terpalit dengan kontroversi tangkap khalwat.
“Ibu bapa saya menasihatkan sekiranya perancangan kita tidak berjaya, saya terpaksa mengambil langkah akhir untuk memberi kenyataan,” tuturnya
NRF tampak bersetuju dengan cadangan Aliff dan memberitahu aktor terbabit agar membuat kenyataan secara bersemuka supaya masyarakat dapat melihat kejujuran dirinya.
“Ya, awak (Aliff) kena cakap berdepan biar orang tengok muka awak.
“Cara awak itu boleh nampak kejujuran awak bila bercakap,” katanya.
Bukan sekadar borak kosong, Didi turut berkongsi tangkap layar perbualan mesej Bella dengan Aliff yang meminta suaminya pulang meluangkan masa bersama anak-anak.
Bella menghantar foto anak-anaknya iaitu Ayden dan Ara yang bertanyakan kepadanya, mengapa Aliff tidak lagi keluar bersama mereka.
Dalam hantaran sama juga, Didi menyertakan bukti foto hubungan Bella dan Aliff berada dalam keadaan baik pada November tahun lalu.
Segala bukti tersebut bertentangan dengan kenyataan Aliff dalam temu bual podcast yang memberitahu, hubungannya dengan Bella mula renggang sejak 13 November tahun sama.
Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula selepas aktor itu ditangkap khalwat bersama Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.
Bella kemudian membuat memfailkan cerai secara ‘fast track’ di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu.
Bagaimanapun sebutan pertama kes cerai mereka terpaksa ditangguh susulan ketidakhadiran Aliff yang terikat dengan penggambaran drama Terjerat.
Aliff juga enggan melafazkan cerai pada sebutan kes cerai di Hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Mahkamah menetapkan 4 Jun sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – HIBGLAM.