TERUK dikecam gara-gara didakwa kurang cakna terhadap isu Palestin, penyanyi Ning Baizura mengakui tidak sengaja memberi reaksi sedemikian kerana sibuk melayan permintaan peminat untuk menyanyikan lagu.
Ujar Ning atau Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, orang ramai tidak akan salah faham sekiranya mereka menonton keseluruhan video siaran langsung tersebut.
“Kalau awak ada peluang untuk menonton keseluruhan video itu pasti awak tahu apa yang berlaku dan saya ada kongsi dalam Instagram saya.
Ketika peminat meminta lagu, saya membaca komen yang keluar dan pada ketika itu secara khususnya saya bercakap nama penonton yang sukar disebut.
“Semasa saya baca komen peminat, tanpa sengaja saya beri reaksi seperti itu. Saya tak bermaksud mahu mempersenda situasi di Gaza dan tempat itu. Sebab itu saya cakap ‘siapa itu’ bukan ‘apa itu’,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Seperti menambah minyak ke dalam api, pelantun lagu Curiga itu mengakui kecewa sikap segelintir netizen yang menyunting video tersebut sehingga menyebabkan tuduhan bertambah teruk.
Menurut Ning, hakikatnya dia juga dalam diam membantu rakyat Palestin namun enggan menguar-uarkan sumbangannya itu.
Saya rasa perkara kecil ini telah tular tanpa mengetahui situasi sebenarnya. Sangat mudah bagi orang lain untuk sunting seperti yang tular.
“Terus-terang saya tidak berniat hendak menyakiti sesiapa pun kerana saya tahu apa yang berlaku di Palestin. Saya juga banyak menyumbang.
Cuma benda-benda amal ini tidak perlu diuar-uarkan, semuanya datang dari hati kita,” ujarnya.
Bukan tampil memberi seribu alasan sebaliknya Ning berpendapat tidak adil netizen tidak mendengar penjelasan darinya dan hanya menghambur kata nista susulan video berkenaan tular.
Saya di sini bukan ingin memberi alasan tapi sebagai manusia kita berhak untuk mendengar kedua-dua belah pihak sebelum menyerang Instagram saya menggunakan kata-kata kasar.
“Segelintir peminat saya keluar memberikan kenyataan terima kasih untuk sokongan itu dan yang tidak mengikuti saya keluarkan pelbagai perkataan tidak sedap didengar,” ujarnya.
Sebelum ini, netizen kecewa dengan respons Ning yang bertanya siapa ‘Rafah’ ketika muncul menerusi video siaran langsung dalam Instagram miliknya.
Dia memberi respons spontan itu selepas penonton video siaran langsungnya meninggalkan komen ‘All Eyes on Rafah’. “All eyes on Rafah… Who’s that?,” katanya sambil tersenyum ketika membaca komen tersebut. – KOSMO! ONLINE.