Dulu gelandangan, kini bintang Korea global

BUKAN semua permulaan hidup selebriti Korea Selatan itu indah seperti yang dibayangkan peminat. 

Di sebalik kejayaan diraih siapa sangka ada segelintir artis papan atas dahulunya pernah menjalani hidup sebagai gelandangan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun berkat ketabahan menjalani setiap ujian mendatang, semua itu hanya tinggal kenangan. 

Kini, mereka mampu hidup mewah hasil titik peluh sebagai anak seni bahkan ada antaranya bergelar selebriti berpendapatan paling tinggi.

Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan beberapa bintang tersohor yang dahulunya hidup bergelandangan. 

Rain

RAIN

 

TERKENAL dengan aset dan kekayaan yang dimilikinya, Rain sebenarnya dilahirkan dalam keluarga yang miskin. 

Menyingkap kisah hidup jejaka berusia 41 tahun itu, dia sekeluarga pernah berlapar dan tidur dalam kesejukan kerana tiada duit untuk membeli keperluan hidup. 

Lebih menyedihkan, ibunya yang menghidap diabetes gagal mendapatkan rawatan sepatutnya kerana tidak berkemampuan. 

Mereka sekeluarga juga pernah dihalau dari rumah kerana gagal membayar sewa yang sudah beberapa bulan tertunggak sehingga terpaksa hidup bergelandangan. 

Penyanyi tampan itu bagaimanapun berjaya mengubah nasib hidupnya apabila debut sebagai idola K-Pop, namun sayang ibu tercinta tidak sempat melihat kejayaannya kerana meninggal dunia terlebih dahulu. 

Kim Jin-young

Aktor Kim Jin-young pernah berdepan detik hitam dalam hidup selepas tamat latihan Pasukan Khusus Angkatan Tentera Laut Korea. 

Ketika itu, dia menjadi mangsa penipuan apabila ditawarkan pekerjaan sebagai jurulatih renang di Seoul yang turut disediakan tempat tinggal, namun hakikatnya semua itu tidak wujud.

Jejaka berusia 28 tahun yang berseorangan di Seoul terpaksa menjadi gelandangan dan tidur di ruang kereta api bawah tanah.

Ingin mengubah nasib hidup, Jin-young memuat naik video dalam YouTube dan berjaya meraih perhatian orang ramai.

Bahkan, dia kini mampu hidup mewah selepas membintangi beberapa drama. 

Yunho

YUNHO

Anggota kumpulan TVXQ, Yunho juga tidak tercicir daripada senarai minggu ini.

Mengakui bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dikecapi  hari ini, lelaki berusia 38 tahun itu mendedahkan keputusannya untuk menjadi idola K-Pop tidak pernah mendapat restu keluarganya sehingga dihalau keluar dari rumah.

Nekad meneruskan minatnya, Yunho terpaksa tabahkan hati dengan tidur di stesen kereta bawah tanah di Seoul dan menjadi gelandangan.

Idola tampan itu hanya tidur beralaskan surat khabar lama selama berminggu-minggu.

Pun begitu, dia terpaksa mencari tempat baharu selepas dihalau gelandangan lain yang menuduh Yunho telah mengambil tempat tidur mereka. 

Pengalaman pahit itu menjadi pemangkin semangat kepada pelantun lagu Bang! tersebut untuk berjuang dalam industri seni sehingga meraih mampu pelbagai pencapaian dan menjalani kehidupan yang selesa pada hari ini.

Subin

SUBIN

PENYANYI  ini menjalani kehidupan sukar ketika menjadi idola pelatih dalam program program Miss Back pada 2020. 

Setelah ibu bapanya bercerai, wanita berusia 30 tahun itu berhijrah ke Seoul untuk menjadi idola pelatih dan berdikari sejak berusia 15 tahun. 

Hakikat hidup sememangnya sukar, Subin tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar rumah sewa.

Enggan menyusahkan ibunya, pelantun lagu Katchup itu terpaksa menumpang di kedai burger bahkan pernah tidur di tepi longkang premis tersebut. 

Berikutan tiada tempat tinggal, Subin terpaksa ke tandas awam dan sauna untuk membersihkan diri berbulan lamanya sebelum kerjaya seninya meledak dan mampu menikmati hidup serba mewah. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok