BERNIAGA tepi jalan tidak ‘standard’? Cetek sangat pemikiran itu.”
ITU luahan pelakon, Faye Kusairi apabila segelintir individu menganggap usahanya berniaga di jalanan sebagai perkara yang tidak membanggakan.
Realitinya, Faye berkata berniaga di tepi jalan banyak mengajarnya tentang masyarakat setempat dan mengenali ramai individu berhati mulia.
“Saya dapat mengenali masyarakat sejak saya berniaga begini dan percayalah, ramai betul orang yang baik dan sentiasa bersedekah hampir setiap minggu.
“Ini semuanya saya anggap rezeki apabila berniaga di sini. Banyak perkara yang saya pelajari, kenali dan alami.
“Hampir kesemuanya mendorong ke arah lebih positif walaupun ada yang memandang rendah tetapi hakikatnya banyak hal yang baik,” katanya dalam Instagram semalam.

TANGKAP layang luahan Faye mengenai stigma negatif segelintir individu yang memandang rendah terhadap dirinya apabila berniaga di jalanan.
Bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah SWT, Faye berkata dia kini memilih untuk kekal positif dan mahu berusaha menjadi individu lebih baik.
Apa apapun, saya terima (kecaman) dengan ikhlas dan reda. Hanya Allah SWT tentukan perjalanan saya dan akan sentiasa berusaha lebih baik.
“Jadi, tolong doakan semoga saya diberi kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan dan diperluaskan lagi rezeki agar perniagaan ini mampu berkembang,” ujarnya.
Terdahulu, Faye mencuri perhatian ramai apabila bergelar peniaga nasi ayam walaupun hanya membuka gerai di pinggir jalan di Bukit Antarabangsa, Ampang pada Disember tahun lalu.
Katanya, niat untuk berniaga nasi ayam sudah lama ada iaitu sejak hamil anak ketiga. – HIBGLAM