TERPANGGIL meluahkan pandangan mengenai gerakan Blockout 2024 di Malaysia, penyanyi Nourul Depp berharap isu boikot yang mencetuskan perbalahan dapat dihentikan.
Ujar Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 46, berharap orang ramai tidak mudah menjatuhkan hukum dengan mendakwa ada dalam kalangan selebriti tidak cakna terhadap nasib rakyat Palestin sedangkan mereka membantu dengan cara tersendiri.
“Ada perang yang tiada penghujung. Ada perang yang sengaja direka untuk merebut. Ada peperangan untuk menyebabkan perbalahan.
“Sudah cukup dunia bersedih dan kita tidak dapat membantu hanya melalui suara dan doa. Hantaran ada yang disekat kerana isu Palestin.
“Cukup-cukuplah, kita pula jangan berperang untuk berkata siapa sokong, siapa tidak. Ramai yang sokong, tapi membantu dari sudut lain. Ramai tidak tunjukkan,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menurut penyanyi yang bermastautin di Bali itu, semua insan terkesan dengan impak kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Gaza sejak peperangan tercetus semula Oktober tahun lalu.
Sekali gus katanya, usah mudah menghakimi andai seseorang jarang berkongsi hantaran berkenaan Palestin dalam media sosial.
Tambah Nourul lagi, Nabi Muhammad SAW turut mengingatkan jangan menunjuk-nunjuk sekiranya ingin menghulurkan bantuan tidak kira dalam soal bersedekah, doa mahu pun ibadah.
“Tidak salah menunjukkan sokongan. Salahnya jika kita menghukum. Benarlah kita manusia tiada yang sempurna. Tapi bukan kerja kita untuk menghukum sesama kita yang kita tak tahu pun apa ada di hati manusia. Hanya Tuhan Maha Mengetahui.
“Saya tulis ini sebab rasa sebagai manusia. Cukuplah ‘berperang’ di atas perkara yang tidak sepatutnya. Mana ada manusia yang tidak berperikemanusiaan kecuali memang diajar menjadi iblis seperti apa yang berlaku di Gaza.
“Berdoalah sebanyaknya jika kita rasa kita tidak mampu berbuat apa apa. Bersedekahlah kepada mereka (walaupun saya tahu ada pertolongan yang tidak sampai).
“Ada sahaja badan amal yang buat kebajikan sampai hantar bantuan Mesir. Saya tahu sebab kawan saya sendiri melakukannya,” ujarnya.
Susulan tindakan boikot yang membawa kepada caci maki, penyanyi Kerana Terluka itu memberi amaran kepada netizen agar tidak meninggalkan komen dalam Instagramnya berhubung isu berkenaan.
“Tolong jangan komen di hantaran saya dan mengancam saya mengenai ‘blockout’. Kita semua bersedih. Rasa tak tercapai nak bantu. Semua orang begitu.
“Tapi, janganlah mengeluarkan kemarahan anda kepada segelintir orang. Sebarkan kasih sayang dan bukannya kebencian,” katanya.
Kempen Blockout 2024 terhadap artis dan pempengaruh bermula di Amerika Syarikat (AS) menyasarkan golongan yang tidak bersuara mengenai Palestin atau menjadi duta produk pro-Israel.
Kempen tersebut turut menular ke Malaysia yang menyenaraikan beberapa nama selebriti dan pempengaruh antaranya Hu Haqeem, Eyka Farhana, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Daiyan Trisya, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari. – HIBGLAM