Selepas setahun bercerai, pelakon Alicia Amin kini dilihat berbahagia bersama seorang jejaka yang dipercayai kekasihnya.
Bersama kapsyen ringkas dalam video TikTok ‘Pizza Date’, seolah-olah memberikan bayangan mereka berdua menikmati temu janji sambil menjamu selera.
Lebih romantis apabila Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin sempat melayangkan ciuman di pipi jejaka tersebut sekali gus menguatkan lagi dakwaan mereka kini hangat bercinta.
Alicia ketika dihubungi mengesahkan bahawa lelaki tersebut adalah teman lelakinya buat masa sekarang.
“Kami sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Minta tolong doakan agar hubungan kami berjalan dengan baik,” katanya kepada HibGlam.
Kedua-dua mereka juga dilihat menggayakan baju berona putih sedondon sambil menikmati hidangan pizza dan bergelak tawa.
Rata-rata peminat berkongsi kegembiraan dengan meninggalkan komen emoji hati pada ruangan komen.
Namun, ada dalam kalangan tidak selesa melihat kemesraan Alicia bersama lelaki yang tiada ikatan dengannya apatah lagi menayangkan keintiman kepada umum.
Jadi, ini cara kehidupan awak sekiranya mengamalkan liberalisme?,” tanya netizen itu.
Sebelum ini, Alicia Amin mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya, Farzan Iqbal pada Mac tahun lalu.
Model sensasi itu berkahwin doktor perubatan berkenaan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada Februari 2021.
Begitupun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata daripada perkahwinan tersebut. – HIBGLAM