Bintang K-pop lantang pertahan Palestin

SEJAK serangan semula Israel ke atas Gaza ada 7 Oktober tahun lalu, dunia seperti sedang menyaksikan lebih 37,000 nyawa direntap percuma hari demi ­seperti langsung tidak bernilai.

Penjarahan berdarah tersebut dikecam segenap penjuru dunia, namun ­Zionis masih tidak berganjak dengan pendirian.

Selain gerakan Blockout 2024 yang dimulakan di Amerika Syarikat dan menjadi semakin hangat dengan penyenaraian nama-nama selebtiti tanah air, gerakan menentang kekejaman Zionis turut disokong selebriti Korea Selatan.

Daebak minggu ini membawakan nama selebriti K-Pop yang berani melaungkan kebencian terhadap Israel.
Inisiatif bintang-bintang K-pop termasuklah semua anggota kumpulan BTS seperti RM, Jimin dan Tae tersebut sela­yaknya dipuji.

 BTS

SIAPA sangka, kumpulan terkenal BTS turut menjadi antara penyokong tegar Palestin serta perjuangan rakyatnya mempertahankan tanah air.

Hal tersebut dilihat apabila seorang ahlinya, RM atau nama sebenarnya Kim Nam-joon melawat pameran seni Barakat yang dimiliki rakyat Palestin iaitu Fayez Barakat.

Manakala, Jimin dan V atau Kim Taehyung memiliki dua karya seni milik Banksy iaitu The Flower Thrower yang menggambarkan seorang rakyat Palestin bertopeng membaling bunga.

Kevin THE BOYZ

SEBELUM ini, penyanyi Kevin pernah terpalit kontroversi kerana dilihat menunjukkan sokongan kepada Israel.

Tidak lama kemudian, pemilik nama sebenar Moon Hyung-seo itu tampil menjelaskan bahawa dia tidak mendokong sebarang bentuk penindasan.

Sejak itu, dia sentiasa bersuara bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin.

Vokalis kumpulan THE BOYZ itu turut memaklumkan sokongannya terhad dek komitmen kerja tetapi tetap menggalakkan peminat bersimpati dengan Palestin dan terus menyebarkan kesedaran.

Jay Park

TANPA sedikit pun rasa gentar, penyanyi Jay Park lantang menunjukkan sokongannya terhadap rakyat Palestin sejak 2021.

Sebelum menutup akaun Instagram, penyanyi rap kelahiran Washington itu sempat memuat naik sekeping gambar petikan mengenai sokongannya kepada Palestin.

Anda tidak perlu menjadi Muslim untuk membela Gaza, anda hanya perlu menjadi manusia,” tulis petikan tersebut.

Yoon Mirae

BERDARAH Korea-Amerika tidak membuatkan Yoon Mirae menyokong kekejaman Israel.

Menerusi InstaStorynya, dia menyiarkan banyak ‘footage’ peperangan yang sedang berlaku antara Palestin dan Israel.

Dia juga sangat lantang menunjukkan perasaan prihatin kepada nasib rakyat Palestin tanpa menghiraukan aktiviti kerjayanya.

Pemilik nama asal Natasha Shanta Reid, 42, itu juga menyiarkan semula imej dari organisasi pro-Palestin iaitu Visualizing Palestine menggesa menghentikan keganasan terhadap orang awam yang tidak bersalah.

BM Kard

ANGGOTA kumpulan Kard iaitu BM berani menunjukkan sokongan padu terhadap rakyat Palestin yang menjadi korban rejim Zionis.

Pada hari lahirnya tahun lalu, pemilik nama sebenar Matthew Kim, 31, itu mengajak peminat mendoakan penduduk Palestin yang tidak berdosa.

“Meskipun saya dapat meraikan hari lahir pada tahun ini, tetapi ramai orang yang tidak bersalah di Gaza kehilangan insan istimewa dalam hidup.

“Tolong doakan individu terkorban di Palestin dan juga rakyat yang masih terseksa mencari pengakhiran kepada semua kekacauan ini,” katanya menerusi laman X. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok