MEMANG saya mahu mengembangkan karier di Indonesia tetapi sayang pula nak tinggalkan Malaysia.”
Demikian kata pelakon jelita Anna Jobling yang mengakui belum bersedia meninggalkan tanah air meski menerima banyak tawaran berlakon di Indonesia.
Ujar Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, buat masa ini dia lebih rela berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta demi memenuhi komitmen penggambaran.
Memang saya serius mahu mengembangkan karier di Indonesia dan kerja berpasukan juga sudah menampakkan hasil sepanjang tempoh dua tahun ini.
“Mencari ruang di sana juga sukar kerana ramai bakat yang bagus, tambahan pula saya tidak bernaung di bawah mana-mana agensi lokal, kiranya semua usaha ini bermula dari bawah.
Sekarang banyak tawaran saya dapat, cuma belum terfikir berhijrah ke Indonesia walaupun jadual penggambaran di sana sudah penuh. Sayang pula nak tinggal,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Anna, ada pihak menyangka penghijrahan itu bakal direalisasikan dalam masa terdekat berikutan dia mengahadiri kelas bahasa Indonesia.
Kata bintang drama Melur Untuk Firdaus itu, sesi menambahkan ilmu serta memantapkan penguasaan bahasa sebahagian daripada usahanya sebagai pelakon.
“Kerap juga saya ke kelas bahasa memandangkan selepas ini ada beberapa naskhah terbitan produksi Indonesia bakal disempurnakan.
Ini bermakna masa saya akan banyak di sana, manakala di Kuala Lumpur juga sudah disusun jadual penggambaran untuk projek akan datang. Saya masih mahu berlakon di negara sendiri.
“Berdasarkan perancangan, masa saya di Jakarta dan Kuala Lumpur juga secara giliran melihat kepada keperluan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Gema Lebaran Anna Jobling di Cyberjaya, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, seramai 200 peminat tegar Anna yang datang dari seluruh negara berhimpun meraikan Syawal. – HIBGLAM