PENGALAMAN lebih sedekad dalam industri membuatkan pelakon Zul Huzaimy masak dengan ‘masa depan’ sesebuah naskhah.
Lagaknya tidak ubah seperti ahli nujum, namun aktor sinonim dengan karakter Spark itu percaya, kekuatan skriplah yang akan menjadi penentu masa depan sesebuah karya sama ada pecah panggung atau mampu meraih anugerah.
Katanya, tidak semua naskhah mampu mencapai kedua-dua kejayaan itu sekali gus. Namun, melihat kejayaan beberapa buah filem seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Hantu Kak Limah, Sheriff: Narko Integriti dan Paskal memberikan satu keyakinan dalam dirinya terhadap kemampuan penggiat seni masa kini.
Bukan kata saya bijak mentafsir, tetapi berdasarkan pengalaman.
“Apabila tengok skrip pun sudah tahu ke mana hala tujunya.
Memang dahulu saya agak memilih kerana ada beberapa tawaran yang dirasakan tidak sesuai. Namun sekarang berbeza kerana secara peribadi, kita sendiri dapat melihat landskap industri itu sudah berubah.
“Banyak filem tempatan yang bagus, popular dan berjaya mencapai tahap pecah panggung.
“Situasi sebegini menggambarkan industri berada dalam persekitaran sihat,” katanya ketika usia tayangan perdana filem Ngesot di ibu negara baru-baru ini.
Dunia survival
Bakal muncul dengan filem Ngesot bermula 9 Mei, Zul mengakui karya tersebut sesuatu yang berbeza buatnya.
Diinspirasikan daripada kisah kejadian sebenar, Zul yang mempunyai pengalaman sebagai bekas ahli pengakap mengakui, pengalaman ‘bersahabat’ dengan rimba banyak membantunya menjayakan watak Faizal dalam cerita itu.
Katanya, menghidupkan karakter individu yang mampu bertahan hidup di dalam hutan setelah terlibat dalam kemalangan, bukan satu hal mudah memandangkan dia tidak memiliki pengalaman sebegitu.
Bagi menghidupkan watak, sepanjang di lokasi, saya hanya minum air sedikit sahaja.
“Ini kerana saya ingin merasai bagaimana cabaran meneruskan hidup ketika situasi begitu.
Tambahan saya juga ada sedikit pengalaman, bagaimana hendak bertahan hidup di dalam hutan memandangkan saya dahulunya bekas ahli pengakap. Kini saya sudah empat tahun menyertai Pengakap Udara,” katanya.
Bercerita mengenai filem baharunya itu, Zul mengetahui bahawa genre filem ‘survival thriller’ bukan ‘hidangan ruji’ bagi penonton tempatan.
Situasi tersebut bagaimanapun tidak menghalangnya penglibatannya dalam karya tersebut, sekali gus mengukuhkan portfolio sebagai pelakon senior.
Saya tahu genre begini satu risiko dan mungkin penonton masih tidak biasa. Tetapi, saya percaya bahawa sesebuah karya itu akan bertahan sehingga ratusan atau ribuan tahun.
“Sebagai contoh, filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih ditonton sehingga kini meskipun sudah hampir mencecah satu dekad,” ujarnya.
Filem arahan Ayez Shaukat terbitan Kash Pictures Sdn. Bhd dan Temasek Studios sementara edaran Metrowealth (MiG), Ngesot mengisahkan tentang dua sahabat iaitu Faizal dan Ashraf yang mengalami kemalangan jalan raya dan terjatuh di dalam gaung.
Terperangkap di dalam hutan selama empat hari, Faizal terpaksa bertahan hidup meskipun mengalami kecederaan parah.
Selain Zul, filem yang menjalani penggambaran selama 14 hari di hutan Gombak, Kuala Lumpur itu turut dibintangi oleh Sharifah Sakinah, Luqman Hafidz, Khir Rahman, Zakaria Zahid dan Erynn Abdullah.