NAMA Rusdi Ramli tidak perlu diperkenalkan lagi bagi peminat industri hiburan tanah air apabila kerap dipilih memantapkan deretan naskhah variasi.
Sebut sahaja namanya, setiap drama mahupun filem yang dibintangi pasti melekat dalam kepala penonton.
Hasil lakonannya tidak dapat disangkal apabila pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.
Disebabkan pengalaman jitu, kebanyakan pendatang baharu mengakui seram sejuk untuk bergandingan dengan aktor berusia 54 tahun itu.
“Kadang-kadang ada pelakon baharu rasa gemuruh untuk bergandingan dengan saya. Benda itu sedikit sebanyak mengganggu saya.
“Apa saya boleh buat adalah cuba tenangkan dia, bagi dia selesa dengan berborak. Nak berkawan pun saya jenis tidak berkawan dengan orang tempat kerja.
“Ada sampai pelakon baharu berpeluh-peluh apabila gemuruh. Tidak tahulah kenapa, yang selalu terjadi kepada pelakon yang terlalu baharu,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai bakat baharu yang datang ingin menuntut ilmu, Rusdi akui ada beberapa nama yang berbuat demikian.
Namun, pelakon filem popular Pontianak Harum Sundal Malam II itu merendah diri mengakui tidak mahir mengajar orang selain sekadar berkongsi pengalaman yang ada.
“Masa berborak dalam set, ada juga yang mahu menuntut ilmu. Itu pun kalau mereka tanya sebab saya sendiri pun tidak pandai mengajar.
“Konsep saya senang sahaja, lakonan ada ‘metod’ masing-masing. Kalau mengajar belum tentu seseorang itu dapat apa yang saya ajar.
“Sama juga macam saya, kalau orang ajar pun belum tentu sesuai dengan saya. Kalau seseorang tanya bagi saya bukan mengajar tetapi lebih kepada perkongsian,” ujar anak pelakon veteran Norlia Ghani itu.
Memuji sikap generasi anak seni baharu yang sanggup menuntut ilmu, tersemat satu kisah pahit dalam hati Rusdi mengenai perangai segelintir pendatang baharu yang boleh dikatakan ‘besar kepala’
Sewaktu kejadian, anak jati Selangor itu mengarahkan sebuah naskhah dan terpaksa berhadapan seorang pendatang baharu yang gemar bermain telefon semasa berada dalam set penggambaran.
“Ramai sahaja pelakon muda tidak serius. Saya pernah arahkan satu drama, ada pelakon sudah berada di set dan saya jerit ‘roll camera’ tetapi dia masih pegang telefon.
“Saya cakap ‘action’ barulah telefon masuk poket. Jadi, saya terus ‘cut’. Saya cakap dengan dia kalau main telefon bagaimana saya harus lakukan suntingan.
“Namun, dia tidak takut. Dia memang minta maaf tetapi saya rasa dia tak ikhlas sebab selepas itu dia masih buat lagi,” kongsinya. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.