Atikah Suhaime rela dikongkong janji dilayan macam puteri

SEUMUR hidupnya, dia tidak pernah mendambakan sebarang status sosial, namun sebaik bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh,  secara tidak langsung, Atikah Suhaime kini disapa datin.

Pada usia yang masih muda, gelaran itu sedikit berat buat si empunya nama Nur Atikah Mohd. Suhaime. Namun seperti adatnya saat menyandang gelaran itu, Atikah mula menjalani kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa seperti wanita berkelas tinggi, berstatus ‘VIP’.

Di sudut hatinya, Atikah masih canggung kehidupan sebegitu. Untuk seorang yang asalnya sibuk berkerja, wanita berusia 33 tahun itu tidak mahu sekadar menjadi datin ‘goyang kaki’ sebaliknya turut bekerja keras bersama-sama suami untuk seiring gelaran di bahu. 

“Sejujurnya, saya langsung tak selesa dengan gelaran itu. Saya belum kaya, kalau sudah kaya baru sesuai. Macam suami saya, memang patut orang panggil dia datuk apabila melihat kejayaannya. 

“Apabila orang mula panggil saya datin, rasa macam sindiran kerana saya belum ada apa-apa kejayaan. Jadi, saya kerja keras dengan syarikat suami (Zaitun) untuk buat duit dan capai kejayaan sebagai datin. 

“Dari sisi lain, saya suka juga (jadi datin) sebab rasa macam ada superpower (kuasa). Saya tak menjangka orang boleh panggil saya datin tetapi gelaran tersebut bantu saya untuk nampak serius dalam sesuatu situasi,” katanya membuka bicara. 

Dalam masa sama, Atikah menyimpan hasrat terus mencapai impian untuk berjaya dan sentiasa dipandang tinggi seperti pengacara, Neelofa. 

“Harap-harap tahun depan saya dapat capai target. Sebelum ini saya main-main kerana fikir hidup ini sementara 

“Jangan sekadar cemburu dengan kejayaan orang tetapi cemburulah untuk memotivasikan diri. 

“Bayangkan Neelofa pada umur 30 tahun sudah jadi jutawan, patut dia yang jadi datin bukan saya. Jadi, saya cemburu dengan dia, geram tengok dia kaya, nak jadi macam dia,” tegasnya. 

PERCAYAKAN ketinggian darjat seorang wanita berstatus isteri, Atikah mahu kekal hidup dalam kelas nombor satu dan pilihan pertama buat suaminya.

Terlanjur berbicara, Atikah  diajak memikirkan situasi kontroversi rumah tangga yang menimpa golongan artis ketika ini 

Belum mencecah usia setahun berumah tangga, selebriti asal Singapura meletakkan sepenuh kepercayaan buat suami. Dalam masa bintang My Stupid Boss itu akur tidak mampu menghalang niat orang jika ada yang cuba mengganggu hubungan mereka.

“Isteri mana yang tidak risau tetapi saya percayakan suami. Cuma, saya lebih fokus untuk buat dia gembira. 

“Pada akhirnya, lelaki akan balik kepada isteri. Teman wanita hanyalah pilihan kedua. Kalau mahu hidup sebagai pilihan kedua, teruskan. 

“Saya mahu jadi pilihan dan isteri kelas pertama. Kalau tetap nak sondol saya, cuba tanya, ‘awak mahu jadi pilihan keduakah sayang? Ambillah sisa-sisa harta’,” katanya sambil tertawa kecil. 

Mengenai keterbukaannya berkongsi kebahagiaan dalam media sosial, bintang filem Highland Towers itu mengakui, pendekatan sedemikian secara tidak langsung memberitahu khalayak, bahawa lelaki bernama Lokman sudah menjadi miliknya. 

“Mestilah kena muat naik gambar dengan suami, kalau tak penyondol tidak tahu siapa suami saya. Kena tunjuk! 

“Kenapa mahu biarkan suami jadi privasi? Pernikahan memang kena uar-uarkan kepada seluruh dunia. Tunjukkan suami saya. 

“Satu dunia perlu tahu itu suami Atikah. Jika tidak, awak akan hanya dapat rasa sisa-sisa,” jelasnya.

Dikongkong suami?

Selepas berkahwin, Atikah juga mengakui karier lakonannya dek keutamaan yang sudah berubah, tambahan pula, Lokman sendiri seperti tidak sanggup berjauh lama dengan dirinya. 

Ditanya, adakah itu sebahagian daripada satu bentuk kongkongan, Atikah enggan peduli asalkan teman hidupnya itu memberikan layanan terbaik seperti seorang puteri buat dirinya. 

“Sebagai suami, dia harus kongkong saya asalkan dia jaga saya dengan baik. Beri saya keutamaan dan kebahagiaan, jadi saya tidak kisah kena kongkong.

“Sebenarnya, naluri hati wanita mahu dimanjakan walaupun gelarkan diri sebagai wanita berdikari. 

“Sebelum ini boleh memandu berjam-jam untuk ke set penggambaran tetapi sekarang rasa tidak mampu kerana ada seseorang yang jaga saya seperti  puteri,” ujarnya. 

Dari satu sisi lain, Atikah juga tidak perlu memberatkan kepala memikirkan soal kewangan kerana sudah ada seseorang yang mampu menghilang segala kerisauan tersebut. 

“Bertahun-tahun sebelum ini saya selalu anxiety (takut). Artis selalu nampak bergaya tetapi hakikatnya bergelut cari wang. 

“Katakanlah tiada tawaran kerja, saya sudah terfikir bagaimana mahu bayar bil pada bulan hadapan. 

“Selepas berkahwin buat pertama kali saya rasa bebas masalah kewangan. Tidur pun ‘syok’ (seronok) tanpa terjaga,” tutupnya.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok