Anugerah Seni BOH perkasa seni

MENEPATI matlamat menghargai hasil kerja pengkarya, Anugerah Kesenian BOH Cameronian ke-19 (BCAA19) memperkasakan arena seni persembahan dengan memberikan penghargaan berterusan terhadap pemain industri seni, termasuk pelapis muda.

Majlis penganugerahan yang dibawakan BOH Plantations dan Kakiseni tersebut direalisasikan bagi menyuntik semangat karyawan yang gigih memperjuangkan dunia tarian, muzik, teater dan teater muzikal.

Anugerah yang diadakan setiap tahun sejak 2002 tersebut bertujuan mengiktiraf, memberi ganjaran dan meningkatkan tahap kecemerlangan pengamal seni persembahan tempatan.

PENGKARYA Dondang Dongeng RMP menerima empat kemenangan dalam kategori muzik, termasuk Persembahan Kumpulan Terbaik – Instrumental dan Arah Muzik Terbaik.

 

Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen, berkata, tema tahun ini adalah Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan iaitu bermaksud penyertaan terbuka kepada setiap individu sama ada mereka yang di atas pentas mahu pun di belakang tadbir.

Kami ingin memberi peluang ini bukan sahaja kepada artis yang dapat melakukan pementasan, tetapi juga terbuka kepada audiens untuk kami dapatkan idea-idea baharu.

“Jadi kepada sesiapa yang ingin mencebur diri dalam dunia seni persembahan, kami amat mengalu-alukan mereka.

Malah tema Pentas Kehidupan bukan sahaja dilihat atau didengar tetapi sangat dirasai yang membuktikan intipati seni tidak boleh diberhentikan,” katanya selepas anugerah itu, baru-baru ini.

ANUGERAH Pencapaian Sepanjang Hayat disampaikan kepada Mathew Ngau Jau (kiri) yang merupakan tokoh seni dan budaya Malaysia.

 

Menurut Yuen, karya terbaik daripada 73 naskhah yang bertanding dipilih bersandarkan kriteria yang membuktikan keunggulan produk di pentas langsung.

Edisi kali ini menyenaraikan sebanyak 73 karya persembahan langsung terbaik sepanjang tahun 2022 dan 2023.

“Ini juga satu pencapaian yang cukup tinggi berbanding tahun sebelum ini, saya amat berbangga melihat peningkatan kualiti penyertaan setiap tahun,” katanya.

Sebanyak 39 anugerah dan hadiah wang tunai RM62,000 diserahkan kepada pemenang sebagai tanda pengiktirafan bakat luar biasa mereka.

ROSNAN Nordin turut menjadi penyampai anugerah pada malam kemuncak BCAA19.

Pada malam kemuncak yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre tempoh hari terdapat beberapa buah karya yang secara majoriti merangkul anugerah tersebut.

Kategori tarian menyaksikan Kongsi Petak dan Projek Kek memenangi empat anugerah menerusi Operasi Switchblade: The Longing yang terdiri daripada dua koreografi, A World In the City dan Gui Qu Lai Xi.

Playspace dan Dondang Dongeng RMP menerima empat kemenangan dalam kategori muzik, termasuk Persembahan Kumpulan Terbaik – Instrumental dan Arah Muzik Terbaik.

Dalam kategori teater, ia adalah malam yang menentukan bagi Five Arts Centre dan Reka Space menerusi Malam Takdir dengan tiga anugerah, begitu juga dengan Fault Lines terbitan Protagonist Studio.

Empat produksi telah diberi penghormatan dalam kategori Terbaik 2023, iaitu Dondang Dongeng RMP, Fault Lines, Malam Takdir dan Switchblade Operation: The Longing.

Setiap pemenang sub-kategori menerima trofi Anugerah Seni Cameronian BOH dan hadiah wang tunai RM1,000, manakala setiap Pemenang Terbaik 2023 menerima trofi Anugerah Seni Cameronian BOH dan hadiah wang tunai RM5,000.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Rosnan Nordin dan Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum, dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Daneal Syawal Abdullah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok