KONSERT Loop Music Festival yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad lalu mencatat sejarah tersendiri apabila menghidangkan pelbagai genre muzik dengan himpunan seramai 15 penghibur hebat tanah air.
Konsert yang berlangsung lebih 10 jam bermula pukul 2 petang hingga 12 tengah malam itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 7,000 penonton.
Pada sesi pertama iaitu seawal 2.40 petang, penonton dihiburkan dengan barisan penyanyi hebat yang dimulakan oleh Arish Mikael diikuti Usop, Nadeera Zaini dan Ronnie Hussein.
Meneruskan momentum acara, Aisha Retno muncul dengan persembahan bertenaga menerusi beberapa lagu popular iaitu Sutera, Sial dan Sinaran.

DAYANG Nurfaizah menjadi pembuka tirai sesi malam. – AFIQ RAZALI
Paling mengejutkan apabila penyanyi Aziz Harun muncul membuat kejutan di pentas sebelum mendendangkan lagu raya popular mereka iaitu Ketipak Ketipung Sayang.
Usai menyaksikan kelincahan dan ‘kegilaan’ Aisha, penonton dibawa pula ke alam percintaan dan ‘galau’ oleh Sufian Suhaimi sebelum pentas diambil alih kumpulan XPDC.
Sepertinya kerinduan peminat kumpulan tersebut terubat apabila XPDC berjaya memukau penonton dengan lagu-lagu hitsnya seperti Apa Nak Dikata, Hentian Ini, Titian Perjalanan dan Semangat yang Hilang.
Menutup persembahan sesi pertama, Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris muncul menggamatkan Axiata Arena dengan rangkaian lagu popularnya.
Antara lagu yang didendangkan termasuklah Ngajat Tampi, Awallah Dondang, Cintaku Sampai Etopia dan Dikir Puteri. Seluruh dewan turut menari bersama, gamat!

SITI Nurhaliza berbesar hati dapat berdiri menghiburkan golongan berstatus anak-anak peminatnya.
Tepat pukul 8 malam, Axiata kembali dibanjiri penonton yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda.
Dibuka dengan persembahan paling dinanti, Dayang Nurfaizah yang umum ketahui jarang muncul dalam mana-mana konsert.
Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu dan Di Pintu Syurga cukup untuk mengusik emosi sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Adrenalin penonton semakin meledak apabila Penghibur Nombor Satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul di pentas.
Seperti bermain di gelanggang sendiri, Siti teruja dapat beraksi di hadap penonton yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda.
“Pada usia 45 tahun ini, saya bersyukur dan teruja apabila dapat menghiburkan anak-anak para peminat saya.
“Terima kasih kepada golongan muda yang mengikuti muzik saya,” ujarnya.
Siti juga sempat menitipkan pesanan kepada generasi muda agar sentiasa positif dalam kehidupan.
“Dalam hidup kena sentiasa beri kegembiraan dan manfaat kepada orang lain.
“Jangan beri tekanan kepada diri dan selalu positif serta hargai orang sekeliling,” katanya lagi.
Pada malam tersebut Siti mendendangkan lapan buah lagu popularnya termasuk Ya Maulai, Destinasi Cinta, Seribu Kemanisan dan Azimat Cinta.

RATU dangdut Amelina memanaskan Axiata Arena dengan seleksi lagu hitsnya.
Malam semakin gamat apabila penyanyi dangdut ‘otai’, Amelina mengambil alih pentas utama. Sangkaan generasi muda tidak mengetahui lagu-lagu dangdutnya meleset.
Semuanya terbukti apabila ribuan penonton turut ‘sing along’ saat lagu Semakin Rindu Semakin Asyik, Ah Rindu Lagi dan Secangkir Madu Merah memarakkan suasana konsert.
Bukan itu sahaja persembahannya turut diiringi penari yang terdiri daripada kru kabin AirAsia. Amelina memang ‘menang sorak’ pada malam tersebut.

KUGIRAN Masdo sebagai penutup tirai konsert.
Seterusnya, kemunculan Imsoniacks yang membariskan empat orang anak muda iaitu Iqie selaku vokalis, Dan (gitaris), Iskandar (gitaris) dan Gavin (dram) sememangnya antara dinantikan.
Tidak hebat pada vokal, namun Iqie berjaya menawan jiwa peminatnya dengan lantunan lagu-lagu popularnya seperti Teman, Igauan Malam, Sempurna dan Pulang.
Persembahan bersahaja tetapi cukup untuk meninggalkan memori manis.
Loop Music Festival ditutup dengan persembahan band kegilaan ramai ketika ini iaitu Kugiran Masdo yang dianggap pilihan tepat.
Masdo berjaya bikin Axiata Arena ‘havoc’ dengan irama muzik disko pop yeh yeh yang diperjuangkan mereka menerusi rangkaian lagu popular seperti Dinda, Janji Manis, Bercanda di Malam Indah dan Pujaanku. – HIBGLAM