Yuna dilabel ‘gila’ tolak kerjasama jenama terkemuka

SUDAH lama memboikot produk pro-Israel, penyanyi Yuna mendedahkan pernah ditempelak kenalan rapatnya apabila nekad berhenti bekerjasama dengan sebuah jenama ‘Z’ pada November tahun lalu.

Ujar Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai, 38, dia pernah dilabel ‘gila’ selepas mengambil keputusan untuk berbuat demikian.

“Saya pernah memberitahu rakan-rakan di Los Angeles dan Kuala Lumpur mengenai keputusan berhenti bekerjasama dengan jenama ‘Z’.

Rakan-rakan kata saya gila dan tidak bagus untuk saya, malah ada yang menukar topik perbualan apabila saya melihat foto menyayat hari dari Gaza,” kongsinya menerusi Instagram.

Setiap tindakan ada natijah, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu mengakui berdepan impak selepas menyokong Palestin termasuk menerima beberapa ugutan.

Pun begitu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL37) menegaskan tindakan memboikot tidak akan berhasil jika hanya dilakukan sebelah pihak sahaja sebaliknya memerlukan pengorbanan semua pihak.

Ada beberapa lelaki mengambil foto saya memakai rantai tembikai (bendera Palestin) untuk menakutkan saya. Tetapi anda tidak tahu kanak-kanak di Gaza tidak hidup setiap hari.

“Instagram juga meminta peminat untuk melaporkan akaun saya. Jadi, kita perlu korbankan sesuatu.

Perkara ini tidak akan berhasil jika peminat memboikot restoran makanan segera dan kami mempromosikan beg RM46,000. Kita semua perlu bersatu,” jelasnya.

Semakan HibGlam mendapati, rata-rata peminat meluahkan rasa bangga terhadap tindakan berani Yuna menentang kekejaman Zionis.

“Awak sangat hebat, sangat bangga!” ujar peminat.

Dan itulah sebabnya anda berada dalam senarai selebriti untuk diikuti. Bukan sebahagian daripada kempen Blockout,” jelas netizen.

“Sebab itu kami sayang kamu Yuna!” kata peminatnya.

Terdahulu, gerakan Blockout 2024 tercetus dalam media sosial bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan itu berjaya memberi impak terhadap ramai pempengaruh dan selebriti di Malaysia apabila majoriti mula bersuara dan memuat naik berkaitan Palestin.

Lebih 37,000 penduduk Palestin telah dibunuh oleh Zionis sejak pertempuran yang berlaku pada 7 Oktober lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok