Moga Syamsul pulang suatu hari nanti – Yusof Haslam

PENGARAH tersohor, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail reda dengan keputusan anak mereka, Syamsul tidak menghubungi keluarga sejak berkahwin dengan Ira Kazar setahun lalu.

Kata Yusof, 70, mereka tidak pernah membenci Syamsul, 39, dan mendoakan agar pengarah tersebut kembali ke pangkuan keluarga.

“Kami tidak pernah buang Syamsul daripada hidup kami. Tetapi, terus terang saya dengan isteri mendoakan dia.

“Peringkat awal tak dinafikan kita terluka. Namun, apabila masa berlalu kian reda, kita sudah tua.

“Masa begini kami banyak mendekatkan diri kepada Allah. Habiskan masa dengan cucu dan kehidupan. Tidak perlu lagi bebankan fikiran.

“Kami doakan dari jauh semoga suatu hari nanti dia akan kembali semula,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan ulang tahun perkahwinan mereka ke-41 di ibu kota pada Ahad.

Dalam pada itu, Yusof turut menyerah keputusan kepada pengarah tersebut sama ada ingin pulang bertemu keluarga atau sebaliknya.

Bahkan, mereka sekeluarga tidak membenci apatah lagi menyimpan dendam terhadapnya.

“Tiada ibu bapa yang membenci anak mereka. Soal dia hendak pulang atau tidak, itu terserah kepada dia. Biarlah masa yang menentukan nanti.

“Apa pun dia buat saya sentiasa mendoakan yang terbaik. Begitu juga dengan filem baharu arahannya nanti yang akan ditayangkan tidak lama lagi,” ujar Yusof.

Sebelum ini, Syamsul dikatakan tidak berhubung dengan keluarganya sejak setahun lalu. Malah, pada sambutan Aidilfitri pada April lalu juga Syamsul juga tidak pulang bertemu orang tuanya.

Sebagai rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 28, mendirikan rumah tangga di Thailand pada Januari 2023.

Syamsul sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, serta Sumayyah, 5. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok