INDUSTRI filem Melayu masih ketandusan bakat pelakon tionghua serta kaum India yang sememangnya diperlukan dalam melengkapkan lagi sesebuah naskhah.
Meninjau potensi, dua bakat baharu daripada bidang kerjaya berbeza memberanikan diri mencuba nasib sebagai pelakon.
Jacqueline Goh dan Amanda Tan merupakan pelapis pelakon sedia ada yang mahu memeriahkan lagi arena hiburan tanah air.
Demi merealisasikan hasrat itu, mereka sanggup mengorbankan kerjaya tetap yang menawarkan pendapatan konsisten.
Bagi Jacqualine, dia nekad meninggalkan kerjaya sebagai guru meskipun sudah 14 tahun menjadi pendidik di SJK(C) Chee Wen.
Kata pemilik nama sebenar Goh Wan Yi itu, dia suka mencabar diri meneroka bidang baharu yang menjanjikan cabaran berbeza.
“Munculnya Covid-19 membuatkan saya berfikir lebih mendalam tentang apa yang saya mahukan dalam hidup dan ingin mencuba sesuatu di luar bidang saya.
“Kerjaya guru sepanjang Covid-19 sangat mencabar kerana semua aktiviti dilakukan secara dalam talian yang bukan sahaja mendidik, bahkan melakukan tugasan lain bagi melindungi anak murid daripada dijangkiti virus itu.
“Setiap hari kena patuh kepada prosedur ditetapkan selain perlu melakukan ujian calit apabila ke sekolah,” katanya membuka bicara.

DUA bintang baharu ini sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai guru dan pegawai pemasaran demi merealisasikan impian bergelar anak seni.
Tambahnya, rutin sama dilalui setiap hari terutama banyak mengadap kertas kerja meski suka melayan kerenah kanak-kanak akhirnya mencetuskan rasa bosan.
“Saya suka berinteraksi dengan kanak-kanak tetapi rasa ingin mencuba kerjaya baharu bagi mendapatkan semula keseimbangan dalam hidup selain tidak kisah menyanyi dan berlakon,” ujarnya lagi.
Membuatkan hati tambah lega apabila ibu bapanya memberikan sepenuh sokongan terhadap hasratnya itu.
“Saya ambil masa untuk kumpul keberanian menyuarakan keputusan berhenti kerja dan terkejut mereka bagi ‘lampu hijau’,” katanya.
Bagi Amanda yang lebih lima tahun bertugas di sebuah syarikat gergasi sebagai pegawai pemasaran, keputusan meninggalkan karier bukan perkara mudah.
Namun, berkat restu orang tua yang yakin dengan kemampuannya, dia bersemangat menghadiri uji bakat lakonan.
Walaupun kerap ditolak kerana tiada asas lakonan, selepas hampir setahun berjinak-jinak dalam dunia peragaan membuka ruang untuknya menimba pengalaman.
Rezeki wanita berusia 30 tahun itu terbuka luas apabila terpilih membintangi drama Anggun Mikayla dan Angin.
Mengakui tidak fasih berbahasa Mandarin, nasib finalis program realiti Fit For Action tahun lalu itu mula merubah apabila ditawarkan bernaung di bawah pengurusan Alternate Records.

BAKAL ditayangkan pada 9 Mei depan, kedua-dua pelakon itu bersyukur apabila kerjasama sulung terbabit membolehkan mereka saling bertukar pandangan.
Bukan sekadar drama, bakat serta kemampuan pelakon asal Ipoh, Perak itu turut melayakkan dirinya membintangi filem Oppa yang bakal menemui penonton bermula 9 Mei depan.
Berkongsi mengenai Oppa yang menggunakan pelbagai bahasa termasuk Melayu, Inggeris dan Mandarin, Amanda teruja bergandingan dengan ramai bintang hebat termasuk bintang Korea Selatan, Theo Jang.
Kerjasama dengan pelakon dan pempengaruh terkenal iaitu Jacqueline juga membolehkan mereka berkongsi ilmu dalam memantapkan lagi lakonan.
“Oppa arahan Captain Denil menyuntik pengalaman baharu buat saya apatah lagi kisahnya bersandarkan kisah benar dilalui mangsa.
“Bukan hanya mendapat kerjasama polis apabila membabitkan kira-kira 80 pegawai sebenar ketika penggambaran, kisah ini juga menemukan saya dengan Jacqueline,” kongsinya. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.