[VIDEO] Bukan semua anak kapal hidup mewah

MINGGU lalu, penulis berkesempatan meluangkan masa menonton filem edaran One Media Group Sdn. Bhd. berjudul The Crew arahan sutradara, Rajesh A Krishnan.

Karya dibintangi pelakon hebat Bollywood, Tabu, Kareena Kapoor Khan dan Kriti Sanon ternyata langsung tidak menghampakan. Bahkan, tersasar jauh daripada jangkaan awal, kemungkinan akan membuatkan audiens ‘berdengkur’ di bangku penonton.

Apa yang membuatkan The Crew ‘hidup’ adalah filem berkenaan tidak berambisi tinggi, sebaliknya berpijak di bumi nyata tidak seperti sebilangan karya Bollywood masa kini yang entah ke mana-mana kepergiannya.

TIDAK klise dan lari jauh daripada jangkaan asal, The Crew dibikin dalam nuansa kelakar tetapi masih mengangkat semangat feminisme.

Sinergi ‘trio’ hebat

Pertama sekali, tiga pelakon utama iaitu Tabu, Kareena dan Kriti yang masing-masing membawakan watak Geeta, Jasmine dan Divya faham sungguh dengan peranan dalam The Crew.

Mereka membawakan watak tiga pramugari yang dibelenggu kepayahan hidup meskipun bekerja di awan biru mengheret bagasi ke serata benua.

Apa konflik yang tercetus dalam The Crew? Itu perlu disaksikan sendiri dengan meluangkan masa sekitar 118 minit di pawagam-pawagam berdekatan.

Berbalik tentang kualiti lakonan, keserasian ketiga-tiga jelitawan itu memang menjadi. Watak Geeta, Jasmine dan Divya membuktikan bahawa tidak semua mereka yang bekerja di awan biru itu berlimpah ganjaran bulan dan bintang.

THe Crew turut menerapkan isu perangkap jenayah penyeludupan emas.

Dalam hierarki dunia penerbangan, pihak yang berkedudukan pengurusan tertinggi berpotensi menjadikan rasuah sebagai hobi demi kelangsungan kerjaya dan yang menjadi mangsa adalah orang-orang bawahan.

Selain itu, penulis terpaku dengan realiti yang dibentangkan, semangat feminisme dalam memerangi rasuah dan kebobrokan dunia airline atau penerbangan.

Kata orang, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan dan itu dibuktikan tiga watak utama dalam The Crew. Mereka tidak pandang belakang dan sanggup memperjudikan nasib (termasuk kerjaya) demi kelangsungan hidup.

Dari segi teknikal seperti sinematografi, efek khas dan bunyi masih banyak kelompongan, namun The Crew diselamatkan oleh naratif membekas.

The Crew sebuah karya yang tidak kurang hebatnya dan memberi makna ‘perjuangan’ terhadap golongan makan gaji. Bravo! Sesuai dijadikan pilihan mengisi masa hari raya Aidilfitri bersama sekotak bertih jagung dan kenalan rapat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok