“Terima kasih mak, Ubai dapat isteri baik, rezeki melimpah-ruah”

Kan best kalau Ubai boleh kongsi rezeki yang ada sekarang dengan mak dan Azrul.”

Itu luahan sayu pempengaruh media sosial, Ubai MZ apabila hajat untuk berkongsi rezeki dengan insan tersayang tidak kesampaian apabila kedua-duanya sudah kembali ke rahmatullah.

Kata Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 26, berkat doa bonda, Allahyarham Rohani Jamal menjadi asbab rezekinya mencurah-curah serta dapat mengecapi kebahagiaan bersama isteri.

Alhamdulillah mak, atas doa mak Ubai dapat isteri yang sangat baik, rezeki melimpah ruah dan tak lama lagi mak akan dapat cucu pertama. Ubai janji jaga Sha dan keluarga dengan baik.

“Kalau mak dengan Azrul ada sekarang, apa yang diinginkan, insya-Allah Ubai boleh tunaikan tapi perancangan Allah terbaik. Terima kasih atas doa dan pengorbanan selama ini,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Suami kepada penyanyi Shila Amzah itu berkongsi momen syahdu bersama ibu dan adiknya, Allahyarham Azrullah Mohd. Zulkefli menerusi paparan gambar hari raya tahun lalu.

Menurutnya, kerinduan terhadap dua insan tercinta itu makin terasa ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Selamat hari raya mak dan Azrul. Banyak yang berubah lepas pemergian ini. Rumah mak dah cantik Ubai dengan Sha buat.

“Semua yang datang beraya suka tengok rumah. Pusara mak dan Azrul pun dah cantik. Pagi raya ramai datang melawat, lagi-lagi kawan Azrul,” ujarnya lagi.

Adik Ubai meninggal dunia pada 4 Mei tahun lalu akibat kemalangan, manakala ibunya menghembus nafas terakhir dua bulan selepas itu berikutan penyakit kanser.

Ubai sah bergelar suami kepada Shila pada 4 Ogos 2023 dan kini berdebar menanti kelahiran anak pertama hasil perkongsian hidup mereka dalam masa terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok