Adik nak minta ampun, minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki.”
Itu yang diungkap model dan pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim kepada bapanya yang juga pelakon, Norman Hakim dalam sebuah video promosi jenama makanan sejuk beku sehingga membuatkan ramai netizen sebak.
Bukan sahaja permohonan maaf, momen Norman memeluk erat Marissa dan menyatakan rasa rindu terhadap puterinya itu turut mengundang air mata netizen yang menonton video tersebut.
Tiap kali papa rindukan adik (Marissa), papa akan buka video ini,” kata pelakon filem Pasrah itu.
Dalam pada itu, Marissa turut menitiskan air mata ketika bersalaman dengan bapanya bagi memohon maaf di atas segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
Norman bagaimanapun berkata, dia sudah lama memaafkan kesilapan anak perempuannya itu.
Tiada apa yang papa nak maafkan. Papa dah lama maafkan adik,” ujarnya kepada Marissa.
Menerusi video tersebut, tertera tulisan yang dipercayai milik Marissa sewaktu kecil untuk bapanya.
Adik selalu doa supaya dosa papa bagi dekat adik.
“Pahala adik bagi dekat papa sebab adik sayang papa,” tulisnya dalam video tersebut yang sudah meraih lebih 800,000 tontonan dalam TikTok.
Menjengah ruangan komen, kebanyakan netizen menzahirkan rasa sebak melihat momen syahdu dua beranak tersebut.
“Sedihnya tengok momen bapa dan anak ini. Semoga Marissa tak buat bapanya menangis lagi.
Kesedihan Norman dalam video ini terasa sampai ke tulang. Sedihnya!
“Air mata Norman nampak seperti dia sudah lama memendam rasa sedih. Marissa janganlah buat perangai lagi,” kata netizen.
Terdahulu, nama Marissa sehingga hari ini menjadi bualan ramai disebabkan berkahwin dengan Ahmad Aslam tanpa pengetahuan keluarga di Songkhla, Thailand pada 27 Disember tahun lalu.
Bukan sahaja keluarga, pernikahan mereka berlangsung ketika isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Selepas empat bulan bernikah, Marissa baru-baru ini memuat naik foto bersama suami tercinta buat pertama kali dalam Instagramnya. – KOSMO! ONLINE