MELALUI pengalaman membesar dalam sebuah keluarga yang berpecah belah, penyanyi Aufahanie mengakui trauma dan takut untuk mendirikan rumah tangga.
Aufahanie atau mesra disapa Aufa, 21, ketika ditemui berkata, dia takut untuk berkahwin kerana tidak mahu apa yang pernah dia lalui semasa kecil, terjadi pada anak-anaknya, jika perkahwinan yang dibina bersama suami berakhir dengan perceraian.
Saya trauma, takut nak berkahwin bila melihat bagaimana ibu saya menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Sebab itu sampai sekarang saya tidak pernah ada teman lelaki,” katanya kepada HIBGLAM.
Bekas peserta program Big Stage 2023 itu bagaimanapun tidak menolak seandainya dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki, suatu hari nanti, namun akan pastikan dirinya membuat persiapan jika berlaku sebarang kemungkinan.
Jika sudah sampai jodoh saya suatu hari nanti, saya tidak akan menolak. Namun saya akan pastikan perkara utama yang perlu saya ada iaitu, duit simpanan yang banyak.
“Mana tahu kalau berlaku sesuatu dalam perkahwinan saya, sekurang-kurangnya saya sudah ada duit untuk bawa diri,” katanya.
Aufa yang ditemui semasa majlis berbuka puasa bersama syarikat rakaman, Indigital Music, baru-baru ini memberitahu, kedua-dua ibu bapanya bercerai sejak dia berusia sembilan tahun lagi.
Selepas mereka berpisah, kehidupan Aufa berubah menjadi kelam-kabut dan tidak berasa seronok apabila terpaksa tinggal berasingan dengan ibu selepas dibawa pergi bersama bapanya.
Perkara yang berlaku itu turut membuatkan Aufa mengalami depresi dan anxiety, selain hubungan dengan adik beradiknya tidak begitu rapat sehingga dia berusia 17 tahun. – HIBGLAM