SEMPENA kehadiran Syawal, buat julung kalinya peminat boleh melihat gandingan aktor berkaliber Datuk Adi Putra bersama bintang baharu dunia lakonan, Hariz Hamdan.
Meskipun hanya berkongsi bingkai sebagai model kempen raya sebuah jenama pakaian Caryazara, perkara tersebut sudah cukup menyulam keterujaan buat Hariz kerana dapat bekerjasama dengan pelakon kegemarannya, Adi Putra.
“Ini kali pertama saya bekerja dengan Adi Putra, walaupun sekadar bergambar dalam hati, berdebar juga. Memang sudah lama teringin bergandingan dengan beliau.
“Sebagai pelakon saya memang suka bekerja dengan pelakon senior kerana boleh dapat ilmu secara percuma di set penggambaran.
“Sebelum ini dalam drama X-Change saya dapat berlakon dengan Datuk Rosyam Nor.
“Menerusi drama Bunga Salju yang kini masih dalam penggambaran saya dapat bekerja dengan Hasnul Rahmat. Cuma dengan Adi Putra, belum ada rezeki lagi,” kata Hariz yang meminati lakonan Adi Putra menerusi filem aksi, KL Gangster.
Sementara itu, Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim, 43, melihat Hariz seperti cerminan dirinya sewaktu memulakan karier dalam bidang lakonan lebih dua dekad lalu.
“Melihat Hariz seolah-olah saya melihat diri saya sendiri waktu mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.
“Walaupun kami berbeza era dan usia, tetapi kami meminati bidang yang sama.
“Perjalanannya masih panjang dan sebagai orang yang sudah merasa terlebih dahulu pahit manis dunia glamor ini, saya tidak kisah berkongsi ilmu dan nasihat.
“Sebagai pelakon kita adalah pekerja bebas atau freelancer. Ada kerja ada gaji, begitulah sebaliknya.
“Cuma bidang ini tiada jaminan, jadi harus bijak menyusun kewangan dan merancang masa depan,” kata Adi.
Menyambung bicara tentang sambutan raya, emosi Adi sedikit terganggu memandangkan tahun ini kali pertama beliau menyambut Aidilfitri tanpa insan bergelar ibu.
“Tahun ini Ramadan dan sambutan raya memang berbeza kerana bonda sudah tiada. Perasaannya sukar untuk saya gambarkan,” tutur Adi.
Allahyarham ibunya, Noor Banoo Khan Mohd. meninggal dunia pada 15 September tahun lalu di Singapura.
Kerinduan yang tidak berpenghujung itu memang agak menyakitkan tetapi sebagai hamba Allah, Adi reda dengan pemergian ibunya.
Sebagai anak, Adi mengakui terlalu rindukan segala rutin menjelang raya yang sering dilakukan bersama semasa hayat ibu masih ada.
“Saya rindu segala-galanya tentang arwah bonda. Saya merupakan anak yang paling rapat dengan bonda, jadi setiap tahun sudah menjadi rutin saya menjadi pemandu peribadinya ke mana sahaja.
“Saya juga rindu berbicara dengannya, rindu masakan dan air tangannya yang bagi saya tiada tolok bandingnya. Jadi, sudah pasti suasananya berbeza dan saya masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan itu,” luah Adi.
Mahu kahwin orang jauh
Berkongsi sambutan raya, Hariz menjelaskan saban tahun keluarganya akan menjalani rutin yang sama.
Pada setiap pagi raya usai solat sunat Aidilfitri, mereka sekeluarga yang tinggal di Puncak Alam, Selangor akan menziarah keluarga bapanya di Klang dan ibunya di Shah Alam.
“Memang setiap tahun saya hanya raya sehari sahaja. Jika orang lain balik dan tidur di kampung, saya tidak pernah merasai pengalaman tersebut.
“Dalam hati memang teringin sangat balik kampung, berkumpul bersama sepupu-sepupu, tetapi kampung saya dekat sangat dengan rumah (ketawa),” ujar Hariz, 22.
Atas alasam tersebut, Hariz menyimpan impian untuk bertemu jodoh dengan orang jauh, luar dari Selangor.
“Sebab hendak rasa balik kampung, saya tanamkan azam untuk berkahwin dengan orang jauh. Saya akan terbuka hati dengan orang yang bukan asal dan kampungnya di Selangor,” akui Hariz dalam tawa.
Baca versi penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM