SELEBRITI versatil, Jaafar Onn dikejarkan ke Hospital Serdang pada tengah malam tadi dan dimasukkan ke zon kritikal di wad kecemasan di hospital berkenaan, selepas mengalami pendarahan ketika membuang air besar.
Anak angkat Jaafar, 72, yang dikenali sebagai Hanif ketika dihubungi berkata, bapa angkatnya yang dipanggil papa itu mengalami bacaan tekanan darah dan haemoglobin rendah ketika melakukan pemeriksaan di sebuah klinik.
“Papa kesan ada darah ketika buang air besar malam tadi dan minta dibawa ke klinik. Dia tidak mahu ke hospital. Namun, doktor di klinik menyarankan papa dirujuk ke hospital untuk tindakan lanjut.
Sampai di Hospital Serdang, doktor membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati tekanan darah dan bacaan haemoglobin papa sangat rendah. Papa terpaksa dimasukkan di zon kritikal di wad kecemasan.
“Alhamdulillah, keadaan papa sekarang stabil selepas doktor memasukkan darah dan telah pun ditempatkan di wad biasa,” katanya kepada HibGlam.
Katanya lagi, keadaan pelakon sitkom Cili Padi itu juga tidak begitu membimbangkan selain boleh berbual walaupun dalam keadaan lemah.
Ramai rakan papa datang menziarahinya hari ini. Papa okey, boleh berbual cuma agak lemah. Papa sekarang perlu berpuasa kerana doktor akan melakukan prosedur endoskopi sama ada hari ini atau esok, untuk melihat keadaan usus dan perutnya,” kata Hanif.
Jelasnya lagi, ini merupakan kejadian kali ketiga Jaafar yang juga merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengacara, penari dan cef itu mengalami masalah buang air besar berdarah sejak julai tahun lalu.
Sebab itu doktor mahu lakukan prosedur endoskopi untuk melihat keadaan usus dan perutnya, kerana sudah beberapa kali papa mengalami masalah buang air besar berdarah,” jelasnya.
Terdahulu, tahap kesihatan Jaafar atau nama sebenarnya Jaafar on Awang semakin merosot selepas mengalami masalah bengkak pada kaki, sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. – HIBGLAM