DISANGKA dari Israel, penyanyi Zizi Kirana yang pertama kali menyertai misi kemanusiaan di Syria bersyukur dibenarkan masuk ke negara itu berikutan kekeliruan pada pasportnya.
Kata pemilik nama lengkap Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 39, cop kemasukkan ke negara yang dilawati sebelum itu kabur sehingga pihak berkuasa Syria menyangka lambang berkenaan sebagai Israel.
Masya-Allah pertama kali bila dapat masuk, kita risau tak boleh masuk tapi kita bersangka baik dengan Allah, insya-Allah boleh. Kami berzikir, berselawat sebab tahu susah nak masuk.
“Macam-macam dia tanya, sudahlah pasport saya jadi isu sebab baru balik Brunei. Di pasport saya itu ada cop Brunei Darussalam.
Benda tu tak nampak sangat, macam kabur. Mereka ingat saya dari Jerusalem, dia tanya Jerusalem? Tidak, saya cakap Brunei Darussalam, jiran Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Dedah isteri kepada pelakon Yusof Bahrin itu, pemergian bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka matanya mengenai realiti ditanggung pelarian akibat perang saudara.
Katanya, rakyat Syria diperlakukan dengan teruk namun perkara tersebut seolah-olah ditutup disebabkan campur tangan pihak tertentu.
Bila dah sampai sini, baru tahu keadaan sebenar. Mereka ditindas habis-habisan, tidak dihebahkan kepada dunia kerana pangkat dan kekuasaan. Hari ini insya-Allah kami akan teruskan misi,” ujarnya.
Dalam hantaran video dikongsikan, Zizi menunjukkan mereka mengedarkan barangan keperluan kepada penduduk selain menyantuni kanak-kanak.
Malah penyanyi lagu Pijak itu turut menghiburkan sekumpulan kanak-kanak yang bertepuk tangan mendengar nyanyiannya.
Sebelum itu dalam hantaran lain Zizi menyatakan rombongan yang dibahagikan kepada dua pasukan itu berdepan pelbagai cabaran sebelum tiba di negara terbabit.
Berlepas ke Syria pada Ahad lalu, dia yang berada dalam pasukan B berkata, mereka terlepas penerbangan dari Istanbul, Turkiye ke Gaziantep, manakala pasukan A tidak dapat memasuki Syria.
Ini bukan saja-saja mahu buat konten. Ini ujian buat kami walaupun segala-galanya sudah disusun cantik buat kami.
“Alhamdulillah selepas 30 jam dari Kuala Lumpur, pasukan B tiba dengan selamat di Gaziantep,” katanya.
Begitupun, Zizi tidak menyatakan tarikh kepulangannya ke tanah air. – HIBGLAM
View this post on Instagram