SIAPA sangka selepas Ketipak ketipung Raya diparodikan pempengaruh Kasih Iris Leona, lagu ciptaan penyanyi Aisha Retno itu tular sehingga berjaya meraih lima juta tontonan di YouTube.
Justeru, Aisha menzahirkan ucapan terima kasih kepada anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu.
Saya berterima kasih kepada Leona kerana selepas tular video yang dihasilkannya, jumlah tontonan video muzik lagu Ketipak Ketipung Raya mencanak naik.
“Kalau sebelum ini jumlah tontotan video 3.5 juta, sekarang hampir lima juta. Bagi saya, peningkatan itu agak pantas.
Saya buat video balas kepada Leona di TikTok. Bayangkan, video itu mencatat tujuh juta tontonan dalam masa sehari.
“Mungkin orang suka Leona kerana personalitinya yang kelakar. Apa saya boleh simpulkan, netizen mahukan sesuatu yang santai,” katanya.
Aisha ditemui pada majlis sidang media program The Hardest Singing Show di ibu kota, semalam.
Sebagai pencipta lagu bersama Aziz Harun, penyanyi berdarah Malaysia-Indonesia itu menafikan video balas berkenaan dimuat naik kerana tersinggung dengan perbuatan Leona.
“Mungkin ada yang salah sangka dengan menganggap video yang saya buat untuk Leona tampak seperti melenting.
Sebenarnya tak betul sebaliknya saya sangat menyukai parodi itu.
“Sama juga selepas persembahan saya di Anugerah Juara Lagu baru-baru ini, ramai yang buat parodi dan sangka saya akan terkesan.
Hakikatnya, saya sangat gembira sebab parodi yang dibuat memberi impak besar khususnya dalam aspek pemasaran. Kalau ada sesiapa lagi hendak buat parodi, silakan,” ujarnya.
Mengulas lanjut Ketipak Ketipung Raya menjadi fenomena ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Aisha berkata, dia sendir tidak menyangka lagu tiu tular hingga ke negara jiran.
“Saya dan Aziz pernah muat naik petikan lagu ini tahun lalu. Jadi ada sedikit kerisauan sekiranya orang sudah lupa. Alhamdulillah, tak sangka lagu ini diterima baik bukan hanya di Malaysia tetapi di Singapura, Brunei dan Indonesia.
Ramai artis popular turut gunakan lagu ini dalam video mereka antaranya Mira Filzah, Dian Sastrowardoyo dan Luna Maya.
“Saya bersyukur kerana kewujudan media sosial membantu lagu ini untuk lebih dikenali. Jadi, saya harus bijak menggunakannya,” kata Aisha – HIBGLAM