CAKAP tidak serupa bikin, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mempersoalkan tindakan suaminya, Aliff Aziz yang enggan melafazkan cerai hari ini atas alasan masih sayang.
Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata, andai benar ada lagi cinta Aliff tidak sepatutnya membuka aib dirinya bersama pelakon, Muaz Zabir.
“Macam tadi dia cakap masih sayangkan saya dan anak-anak.
Kalau betul dia masih sayang, kenapa dia buka aib saya?”
“Sedangkan saya simpan aib itu sampai ke mati,” katanya kepada HibGlam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya sama ada juara Gegar Vaganzan musim kelapan itu enggan melafazkan talak kerana berdendam, ibu kepada dua anak itu enggan memberikan sebarang komen.
Wallahualam, saya tak ada apa-apa komen mengenai perkara ini sebab kita tak tahu hati orang macam mana.
Ditanya adakah suaminya akan pulang ke rumah, Bella memaklumkan dia tiada masa memikirkan perkara tersebut kerana sibuk menguruskan anak-anak.
Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff sudah lama berlarutan namun kemuncaknya apabila Aliff ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.
Bella kemudian memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu.
Bagaimanapun sebutan pertama kes cerai itu terpaksa ditangguh berikutan ketidakhadiran Aliff yang terikat dengan penggambaran drama Terjerat.
Aliff juga enggan melafazkan cerai pada sebutan kes cerai dihadapan Hakim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Mahkamah menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Bella dan Aliff yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – HIBGLAM
View this post on Instagram