PELAKON Datuk Adi Putra berharap tiada pihak cuba menangguk di air keruh kontroversi skandal Aliff Aziz dengan melaga-lagakan penggiat seni Malaysia dan Singapura.
Adi, 43, berkata, perkara tersebut harus dielakkan ketika ini kerana bimbang mencetuskan sentimen ‘kasta’ dalam kalangan penggiat seni dari Kota Singa yang mencari rezeki di negara ini.
Kita tak mahu meletakkan sentimen kasta dalam industri perfileman. Sebagai pelakon, saya semestinya tak mahu mencalarkan imej industri.
“Isu dua negara ini boleh mencetuskan kasta tidak diinginkan. Diharapkan sentimen ini tidak wujud demi kebaikan imej negara,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan episod akhir drama Lelaki Itu di ibu kota, malam tadi.
Anak jati Singapura itu turut menggesa penggiat seni untuk mencontohi cara seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee menyatukan Malaysia dan Singapura menerusi karya-karya seninya.
Kalau imbas semula sejarah atau riwayat bagaimana kehidupan P Ramlee, dia bermula di Singapura dan kembali ke Merdeka Studio, sama juga dengan dua negara ini.
“Namun, apabila berpijak di bumi nyata, kita sebenarnya bekerja. Jadi, semuanya terpulang kepada diri sendiri untuk menepis kontroversi dengan saling menghormati,” katanya yang tidak kisah bergandingan dengan pelakon pernah terpalit kontroversi.
Tambah Adi, dia juga sudah lali dengan tempias kontroversi artis negara kelahirannya namun memilih untuk tenang menghadapi perkara itu.
“Tempias itu perkara biasa dan pasti wujud di mana-mana sahaja.
“Bagaimana nak atasi tempias itu adalah dengan cara masuk telinga kiri, keluar telinga kanan,” ujarnya bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
Pada 9 Mac lalu, nama Aliff hangat diperkatakan selepas dia dan pelakon Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.
Susulan kejadian tersebut, isteri Aliff iaitu aktres Bella Astillah mengambil keputusan memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac namun pelakon itu enggan menceraikannya.
Kemelut rumah tangga mereka semakin rumit apabila kekasih gelap Aliff iaitu Sarah Yasmine muncul membuat pelbagai pendedahan menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan wanita yang dinamakan sebagai NRF iaitu Ruhainies.
Pendedahan itu mencetuskan huru-hara selain turut mengheret nama beberapa selebriti tanah air seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen. – HIBGLAM