SIAPA tidak kenal dengan figura yang meledak bersama kumpulan rap K-Clique, MK.
Sebelum bertukar status bergelar suami orang, lelaki Sabah itu pernah menjadi kegilaan ramai wanita.
Jika dahulu pemilik nama penuh Muhammad Hairi Amin Hamdan itu sentiasa dihambat persoalan siapa wanita bertuah yang bertakhta di hati, kini hidupnya diasak pula dengan pertanyaan lain.
Hampir setahun mendirikan rumah tangga, tempoh tersebut wajar dirasakan khalayak untuk merisik perkembangan normal bagi pasangan suami isteri, sudahkah suri hatinya itu berbadan dua.
Perubahan fizikal isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin menerusi beberapa perkongsian foto dalam platform media sosial tambah meyakinkan netizen bahawa wanita itu sedang hamil.
Tidak mengiakan mahupun menafikan, penyanyi tinggi lampai hanya meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat dia dan isterinya
Kata lelaki berusia 29 tahun itu, peminat tidak perlu berteka-teki kerana dia pasti akan berkongsi sebarang perkembangan apabila sudah tiba masa yang sesuai kelak.
“Persoalan ini sebenarnya sudah ramai yang bertanya, apa yang boleh saya katakan, insya-Allah doakan yang baik-baik.
Peminat pun jangan risau atau berkecil hati, saya pasti akan kongsi apabila sudah tiba masa yang sesuai nanti.
“Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata, saya percayakan rezeki Allah. Buat masa sekarang mohon doakan yang terbaik,” katanya ringkas.
Berkongsi mengenai rutin Ramadan, MK mengakui teruja meraikan bulan mulia bersama belahan jiwanya dan dapat fokus menjalankan ibadah bersama-sama.
“Tiada perancangan spesifik sepanjang puasa ini, cuma lebih fokus kepada ibadah.
Saya ingatkan isteri supaya tidur dan bangun awal serta rancang apa yang boleh dilakukan selepas sahur.
“Saya juga harap jadual kerjaya seni dipermudahkan seperti sekarang ini. Syukur walau sibuk, tetapi tidak pernah ganggu waktu untuk ibadah.
Jadi sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak mahu jadual kerja yang padat,” katanya.
Bercerita tentang juadah pilihan ketika berbuka dan bersahur, pelantun lagu Sapu Rata itu lebih gemar menikmati hasil air tangan isteri di rumah.
“Isteri tahu kesukaan saya dan dia masak mengikut kesesuaian. Dia sangat bertanggungjawab apabila sanggup belajar memasak makanan kegemaran saya.
“Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang tahu memikul tanggungjawab sebagai suri rumah dengan baik.
“Alhamdulillah, rasanya bab juadah berbuka dan sahur memang tiada masalah, tinggal lagi pemantapan ibadah sahaja, gandakan amalan sunat,” ujarnya.
Dari segi perkembangan lainnya pula, MK merupakan salah seorang duta pakaian Elrah Exclusive.
Meraikan ulangtahun ke-10 penubuhan, jenama tempatan itu, Elrah tampil menghasilkan filem pendek berjudul Mak yang melibatkan ramai artis besar termasuk MK sendiri.
Naratif filem yang sangat menyentuh hati ini berkisahkan perjalanan seorang remaja bernama Hilmi, yang mendambakan belaian dan kasih sayang ibunya.
Filem “Mak” menjalinkan kisah kerinduan seorang anak dan harapan ibu yang tidak berbelah bahagi.
Melalui penceritaan yang menyentuh hati ini, pengasasnya, El Azman mengharapkan penonton dapat merasai kerumitan emosi dalam ikatan kekeluargaan dan kuasa kasih sayang seorang ibu yang kekal abadi.
Filem pendek ini akan mula ditayangkan pada 27 Mac di saluran YouTube dan semua platform sosial media.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.