SELEPAS aib dicanang, penyanyi Ippo Hafiz menghantar notis kepada pihak yang tidak didedahkan identiti sebagai amaran agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah berkaitan rumah tangganya.
Ujar Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 34, dia menyerahkan kes perceraiannya dengan isteri kepada mahkamah selain enggan menjadikan media sosial sebagai platform membuka pekung sendiri.
“Banyak kenyataan dikeluarkan seolah-olah saya tidak ada sifat bertimbang rasa.
“Peguam saya telah memberikan notis supaya pihak-pihak yang membuat tohmahan terhadap saya berhenti memberikan kenyataan.
“Biarlah mahkamah memutuskan perkara ini (perceraian) daripada menggunakan media sosial untuk melepaskan perasaan,” katanya dalam Instagram Story.
Difahamkan, penjelasan tersebut bagi menjawab dakwaan seorang wanita dipercayai kakak kandungnya yang memuat naik kenyataan dalam aplikasi TikTok.
Wanita terbabit mendakwa adik iparnya iaitu Fara Roslan telah dipisahkan dengan anak bongsu mereka sejak Februari lalu.
Enggan mengeruhkan keadaan, pelantun lagu Saat Bahagia itu menjelaskan kemelut bersama steri masih dalam proses undang-undang selain tiada lagi sebarang keputusan dibuat mahkamah
“Sudah lama saya ingin nyatakan kes saya dan isteri masih berjalan di mahkamah dan masih belum ada apa-apa yang diputuskan mahkamah termasuk hak jagaan anak.
“Anak pertama pada isteri dan anak kedua bersama saya. Saya juga telah memberitahu isteri buat masa ini biarlah saya jaga anak kedua.
“Kita selesaikan dulu semuanya di mahkamah. Saya tiada halangan isteri jumpa anak tapi saya dimaklumkan untuk mengambil anak kedua saya,” jelasnya panjang lebar.
Menyimpan kemas isu rumah tangga, Ippo bertegas masih berstatus suami kepada Fara selain mahu menjaga aib isteri dan berharap perkara sama dilakukan pihak sebelah sana.
“Hal ini saya dan isteri sahaja yang tahu. Saya sehingga kini masih menjaga aib isteri dan juga keluarga.
“Dia masih isteri saya (bukan bekas isteri). Tugas dia adalah untuk menjaga maruah suami.
“Saya harap anda semua semua menghormati dan mendoakan semua urusan saya dipermudahkan,” katanya.
Pada 12 Mac lalu, Ippo memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Fara di Mahkamah Rendah Syariah Ampang selepas wanita itu tidak pulang ke kediaman mereka sejak November tahun lalu.
Fara bagaimanapun tidak hadir ke prosiding tersebut. Mahkamah menetapkan 23 April sebagai tarikh prosiding seterusnya.
Terdahulu, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki. – HIBGLAM.